S’wak beli vaksin sendiri jika perlu

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengemukakan hasrat untuk membeli vaksin tambahan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menampung bekalan vaksin sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau telah menghantar surat permohonan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin untuk memberitahu hasrat Kerajaan Sarawak untuk membeli vaksin tambahan.

“Ini sekiranya vaksin yang dibekalkan Kerajaan Persekutuan tidak dapat memenuhi jadual pemvaksinan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, semalam.

Menurut beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, Kerajaan Sarawak menyasarkan semua rakyat yang layak menerima vaksin Covid-19 di negeri ini akan dapat di vaksin pada penghujung bulan Ogos tahun ini.

Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, terdapat beberapa negeri iaitu Pahang, Sarawak, Johor dan Selangor telah menyatakan hasrat bagi tujuan berkenaan.

Katanya, sesiapa sahaja boleh menyatakan hasrat dan jika negeri itu dapat beli vaksin sendiri, beliau tidak mempunyai masalah, malah turut memberi kebenaran kepada kerajaan negeri untuk membuat perolehan.

Suara Sarawak