KUCHING: Di sebalik situasi global yang mencabar akibat pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021, Sarawak berjaya menarik pelaburan berjumlah RM23.17 bilion dengan 117 projek.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM16.08 bilion diluluskan pada 2020, manakala RM7.09 bilion pada 2021.
“Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 11,000 peluang pekerjaan,” katanya.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Mengenai prestasi pelaburan pada tahun ini pula, beliau berkata setakat ini Kerajaan Sarawak telah meluluskan dua projek pembesaran baharu di Sama Jaya bernilai RM2.1 bilion.
“Syarikat-syarikat ini telah pun memulakan kerja-kerja pembinaan yang melibatkan produk elektrik dan elektrik (jongkong solar, wafer dan substrat untuk pemacu cakera keras).
“ Selain itu, Sarawak juga telah meluluskan 16 projek bernilai RM75 juta dalam produk minuman (air minuman dalam botol), perkhidmatan (logistik dan pergudangan), produk berasaskan kayu (perabot, bahan binaan, arang & kayu gergaji), produk logam asas (produk keluli) dan banyak lagi.
“Kesemua pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 2,100 peluang pekerjaan di negeri ini,” tambahnya.