S’wak dapat dana latih 3,000 guru kuasai BI

KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal mendapat dana daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi latihan kepada guru Bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Sri Michael Manyin Jawong berkata, dana itu bertujuan membantu guru yang dilantik untuk mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah.

“Saya akan berjumpa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini di Putrajaya,” katanya pada Majlis Perasmian Kuiz Sains dan Matematik peringkat Sarawak di UCSI Kuching semalam.

Manyin menjelaskan, negeri ini adalah satu-satunya negeri yang melaksana pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris bermula Januari tahun depan.

“Oleh itu, saya mahu sokongan ibu bapa bagi memastikan perkara ini dilaksana dengan baik.

“Sekiranya program yang kita mulakan berjaya, kita akan perkenal program yang sama ke peringkat sekolah menengah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata menerusi usaha murni UCSI menganjurkan kuiz tersebut ia diharap menjadi pengerak dalam memperkasakan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di Sarawak.

Melalui penglibatan lebih 3,000 pelajar seluruh negeri, Manyin cukup berbangga dengan respon ditunjukkan semua pelajar dan sekolah.

“Pada hari ini saya cukup bangga dengan respon diterima penyertaan semua kerana antara sasaran kementerian sebanyak 60 peratus pelajar memasuki aliran Sains untuk beberapa tahun akan datang,” jelas Manyin.

Sejak penubuhan kementeriannya pada 7 Jun 2017 lalu, Manyin menjelaskan Kerajaan Sarawak fokus dalam STEM di Sarawak termasuk memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris.

Tambahnya jika dua perkara tersebut tidak dapat dikuasai pelajar, Sarawak akan menghadapi masalah bersaing peringkat global.

Pada majlis tersebut seramai 303 pelajar tingkatan empat dan lima dengan 58 guru dari 16 daerah dan 47 sekolah seluruh Sarawak turut serta dalam pertandingan.

MERTABATKAN STEM … Datuk Sri Michael Manyin Jawong merakamkan foto kenangan dengan lebih 303 pelajar yang hadri semalam
g2: RASMI … Datuk Sri Michael Manyin Jawong merasmikan program Kuiz Sains dan Matematik yang kelima di Universiti UCSI peringkat Sarawak semalam.

Suara Sarawak