S’wak kaji ubat Covid-19

KUCHING: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan Malaysia merupakan negara Asia pertama yang mendaftarkan pesakit dalam percubaan solidariti untuk menguji beberapa ubat bagi merawat Covid19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, lebih membanggakan, Sarawak menjadi negeri kedua yang berbuat demikian selepas Hospital Sungai Buloh.

“Pesakit pertama yang diuji untuk ubat berkenaan dari Hospital Sungai Buloh pada 21 April dan kedua pesakit dari Hospital Umum Sarawak pada 22 April,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di sini semalam.

Menurut Adun Batu Kawah itu, HUS sentiasa memiliki kebolehan dari aspek kepakaran malah mempunyai kaedah ujian klinikal yang terbaik di Malaysia.

“Ini tidak mengejutkan kerana HUS mempunyai rekod yang sangat baik dalam mengendalikan penyelidikan klinikal.

“Jika kita melihat kepada semua peratusan penyelidikan di Malaysia, HUS satu-satunya hospital yang melakukan fasa pertama dan fasa awal dalam penyelidikan, fasiliti penyelidikan yang dedikasi dan antara terbaik di dunia,” katanya.

Tambahnya, inisiatif tersebut bakal memberi sumbangan yang besar bukan sahaja kepada Malaysia, malah mungkin seluruh dunia.

Jelasnya, penyelidikan itu sebahagian sumbangan Sarawak kepada dunia kerana jika hasilnya positif, ia akan mempercepatkan usaha untuk menyelamatkan nyawa.

“Dunia akan mengenali kita dengan kepakaran, fasiliti perubatan dan doktor yang bertaraf dunia ada di negeri ini,” katanya.