S’wak rekod 712 kes dari 780 tangkapan salah guna dadah

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 712 kes yang melibatkan 780 tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah dan substan bagi tempoh Januari tahun ini, kata Menteri Kebajikan, kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya kesemua kes dan tangkapan itu adalah hasil daripada 984 operasi yang dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Sarawak.

Justeru, beliau menyeru agar individu yang terjebak dengan dadah dan substan tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan di Pusat Sehenti Untuk Penagih (OSCA) yang ditubuhkan di Klinik Petra Jaya di Kuching dan Klinik Kesihatan Tudan di Miri.

“Kita menyeru agar individu yang terjebak dadah dan substan tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan di OSCA,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke OSCA di Klinik Petra Jaya, hari ini.

Menjelas lanjut, Fatimah berkata OSCA adalah satu pusat perkhidmatan sehenti bagi rawatan dan pemulihan dalam komuniti secara sukarela untuk individu yang ketagih substan dan dadah yang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan.

Katanya antara perkhidmatan di OSCA adalah intervensi penagihan dan penyalahgunaan inhalan, daun ketum dan ATS, intervensi kemudaratan alkohol termasuk intervensi penagihan ubat pelali dan ganja.

Pada masa sama, beliau berkata ia juga menjadi klinik berhenti merokok dan Klinik Terapi Bantuan Secara Ubatan untuk penagihan Opiad.

Suara Sarawak