S’wak sasar penanaman 12 spesies buluh untuk eksport

KUCHING: Sarawak komited untuk membangunkan industri penanaman buluh, dengan memberi tumpuan kepada ‘buluh betong’ atau nama saintifiknya, Dendrocalamus asper, kata Pengurus Besar Pusaka, Hashim Bojet.

Menurutnya, tumpuan kepada spesies buluh ini adalah kerana kualitinya yang sama dengan buluh moso di China dan Jepun, yang popular untuk industri perabot.

“Buluh merupakan alternatif kepada industri hiliran yang kini bergantung kepada sumber kayu dan balak.

“Malah buluh cepat tumbuh dan boleh dituai dalam masa lima tahun berbanding kayu.

Pada masa sama katanya, penggunaan ruang tanah juga lebih kecil kerana rumpun buluh dapat tumbuh lebih banyak berbanding pokok kayu.

“Buluh juga mudah dikendali tanpa memerlukan jentera berat untuk menuainya,” tambahnya.

Pada masa ini kata Hashim, pihaknya telah mengenal pasti 12 spesies buluh di negeri ini yang mempunyai nilai komersial termasuk buluh betong.

Mengenai pasaran, beliau yakin produk ini akan mendapat sambutan yang baik, terutama di pasaran eksport, memandangkan ketika ini pengguna antarabangsa sangat menekankan produk mesra alam.

“Buluh mempunyai ciri-ciri berkenaan,” katanya lagi.

Uniknya, kesemua bahagian pada buluh memiliki nilainya tersendiri, jelasnya.

“Akar buluh boleh dijadikan sebagai kraf tangan, batangnya untuk membuat pelbagai produk manakala dedaunnya untuk herba.

Di Indonesia katanya, buluh dijadikan kraf tangan untuk tujuan eksport ke Jepun.

“Kita kini sedang merancang sebuah ladang buluh dan tapaknya telah dikenal pasti.

“Pusaka menyasarkan untuk memiliki ladang seluas lima ke 10 hektar, yang kini di peringkat perintis, yang turut melibatkan pusat semaian untuk 12 spesies buluh ini.

Katanya, pusat semaian ini akan diwujudkan di setiap bahagian di Sarawak, bagi memudahkan proses pembukaan ladang secara besar-besaran.

Pusaka tambahnya, turut berkunjung ke China dan Taiwan yang merupakan pengeluar tanaman buluh terbesar dunia untuk mencari kaedah terbaik untuk mempelajari teknik yang digunakan.

Hashim berkata demikian dalam wawancara khas sempena Ekspo PKS Perkayuan Sarawak 2019 yang akan bermula 27 hingga 30 Jun depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Ekspo edisi keempat ini bertujuan mempromosikan produk perkayuan dan memperkenalkan inisiatif-inisiatif Pusaka seperti penanaman ladang hutan dengan spesies pokok akasia.

 

Foto: ‘Buluh betong’ atau nama saintifiknya, Dendrocalamus asper

Suara Sarawak