S’wak sediakan tanah rumah mampu milik

KUCHING: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan menyerah semula sepuluh bidang tanah milik Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) yang sebelum ini diperuntukkan untuk pembangunan perumahan mampu milik oleh Bahagian Perumahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Setiausaha Tetap Kementerian Tempatan dan Perumahan Bakrie Zaini berkata, penyerahan itu dilakukan bagi mengelakkan kekeliruan mengenai perkara dibangkitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin baru-baru ini.

“Malah senarai tanah sama telah kita serahkan kepada Zuraida ketika lawatannya ke Projek Perumahan Rakyat yang siap di Sungai Tengah, Matang pada Julai tahun lalu.

“Sekali lagi kita serahkan senarai sama pada Disember tahun sama dalam mesyuarat susulan diketuai pihaknya dengan pegawai Bahagian Perumahan Kementerian Persekutuan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bakrie menambah, pihaknya tidak menolak rekod itu mungkin salah terutama dengan di Bahagian Perumahan semasa tempoh tersebut.

“Kita akan membuat mesyuarat susulan dengan Bahagian Perumahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan kita menjangkakan hasil positif daripada mesyuarat itu.

“Kementerian berkenaan dapat memilih beberapa tanah untuk dibangunkan untuk perumahan mampu dimiliki dengan HDC,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri KerajaanTempatan dan Perumahan Datuk Dr. Sim Kui Hian mendedahkan sepuluh bidang tanah seluas 1,223.65 ekar boleh menyediakan 12,000 unit rumah mampu milik.

Semua lokasi tanah terletak di Kuching, Bintulu, Miri, Kapit, Sri Aman, Serian dan Limbang.

Terdahulu Zuraida Kamaruddin meminta Kerajaan Sarawak memperuntukkan tanah kepada kementeriannya bagi membantu membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini.

Gambar hiasan