S’wak serah RM350 juta tahun ini

KUCHING: Sejumlah RM350 juta bayaran pinjaman daripada Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan akan diserahkan pada tahun ini.

Menteri Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi , Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, pihaknya tidak mempunyai tarikh tetap untuk bayaran wang tersebut dan akan membayar seperti yang telah dijanjikan.

Menurutnya, baki bayaran tersebut akan dibayar pada tahun hadapan.

“Tawaran telah diberikan sebanyak RM1 bilion tetapi kita tidak dapat membelanjakan jumlah tersebut tahun ini.

“Tahun ini Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersedia untuk menyerahkan RM350 juta tersebut,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Penangguhan Pertandingan Kemahiran KV Skills dan Inovasi Zon Sarawak 2019, di Kolej Vokasional di sini.

Tambahnya, pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan pada minggu lalu untuk membincangkan isu ini.

“Kita tidak perlu bercakap atau membahaskan hal ini di dalam akhbar kerana ia tidak membantu kita menyelesaikan masalah.

“Dalam mesyuarat tersebut juga, mereka telah membincangkan banyak perkara tentang isu berkenaan,” katanya.

Kerajaan Sarawak didakwa lambat membuat bayaran RM350 juta tetapi mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku, jelasnya.

“Dalam mesyuarat minggu lalu, jika boleh mereka mahu proses membaik pulih sekolah daif dimulakan pada bulan hadapan.

“Sekiranya semua perkara ini diselesaikan kita akan memulakan proses membaik pulih lima

sekolah itu, tetapi kita masih perlu berhubung juga dengan pihak Jabatan Kerja Raya Sarawak dalam isu tender,” jelasnya.

Baru-baru ini Manyin memaklumkan pegawai daripada kementeriannya akan bertemu dengan pegawai Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Hasil perbincangan terbabit beberapa perkara telah dimuktamadkan termasuk bayaran pinjaman pendahuluan RM350 juta.

Beliau berharap ia tepat pada masanya kerana isu tersebut perlu dibawa ke Parlimen terlebih dahulu untuk diluluskan.

Suara Sarawak