S’wak tunggu jawapan konklusif pusat

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menunggu maklum balas rasmi dan konklusif daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengenai pembelian vaksin Covid-19 oleh kerajaan negeri. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, maklum balas daripada Khairy setakat ini amat positif.

“Kita menulis surat kepada beliau mengenai hasrat Kerajaan Sarawak dan menunggu respons rasmi dari sana. “Setakat ini apa yang diberitahu, maklum balas sangat positif,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melengkapkan suntikan vaksin Pfizer- BioNTech Covid-19 bagi dos kedua di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini, semalam.

Turut menerima suntikan sama ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Sim Kui Hian, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr. Chin Zin Hing serta Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr. Eunice Melissa Joseph.

Suntikan vaksin dilakukan Jururawat Klinik Kesihatan Petra Jaya Iffah Marcelina Peter Chanyi dan dibantu Jururawat Kesihatan Awam Juliet Tijun. Pada 26 Februari lalu, Abang Johari bersama-sama yang lain menerima suntikan vaksin Pfizer- BioNTech bagi dos pertama di Klinik Petra Jaya di sini.

….Untuk berita selanjutnya dapatkan naskhah Suara Sarawak 20 Mac 2021

Suara Sarawak