S’wak United FC  dapat RM4.5 juta

KERAJAAN Negeri menyumbangkan RM3.5 juta kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) untuk membantu menguruskan pasukan tersebut.

Manakala penaja utama pasukan Sarawak United FC, Press Metal menyerahkan cek berjumlah RM1 juta. Secara keseluruhan setakat ini, SUFC mendapat RM4.5 juta untuk pasukan musim ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah tersebut adalah pembayaran fasa pertama dalam tempoh satu tahun dengan harapan pasukan itu beroleh kejayaan serta mengharumkan nama Sarawak.

“Jumlah ini sebenarnya masih tidak mencukupi kerana kos yang terlalu tinggi yang perlu dibiayai FAS seperti pembayaran gaji, penginapan, pengangkutan dan fasiliti-fasiliti yang lain.

“Dengan sumbangan ini ia dapat meringankan beban FAS untuk menguruskan empat pasukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pasukan SUFC di Dataran Asajaya, malam semalam.

Dalam majlis itu, Abdul Karim tidak menjangkakan kehadiran pengunjung yang begitu ramai.

“Saya amat terkejut dengan kehadiran ramai pengunjung ke sini kerana sebelum ini tidak pernah berlaku seperti ini,” ujarnya.

Sekitar 2,000 penduduk tempatan dan dari luar Asajaya mengerumuni pekarangan Dataran Asajaya.

Abdul Karim turut mengumumkan beliau akan berusaha untuk mendapatkan ratusan tiket percuma untuk para peminat di Asajaya bagi menyaksikan perlawanan Liga Premier 2020 di Stadium Sarawak nanti.

SUFC akan beraksi di gelanggang sendiri pada 7 Mac depan, menentang JDT II. Sebelum itu, mereka akan menentang Pulau Pinang pada 1 Mac di gelanggang lawan.

Turut hadir ialah Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman, Pengasas Harini FC, Datuk Siva Kumar dan kenamaan lain.

Suara Sarawak