Trending

Sweden model terbaik ombudsman

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Kerajaan Sarawak berada di landasan yang tepat apabila memilih Sweden sebagai model sistem ombudsman kerana negara itu melaksanakan model amalan terbaik berkaitan tadbir urus dan integriti, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


“Ini antara usaha penting untuk menubuhkan ombudsman Sarawak sebagai jentera kerajaan negeri sekali gus memastikan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti.


“Selain itu, kita juga sedia maklum bahawa institusi Ombudsman di Sweden adalah antara yang tertua di dunia sejak 1809, maka ia amat sesuai dijadikan sebagai rujukan.


Saya amat yakin, Kerajaan Sarawak tidak silap memilih Sweden sebagai amalan terbaik institusi Ombudsman,” katanya.


Beliau berkata demikian mengetuai rombongan kerajaan negeri semasa taklimat bersamasama Ketua Ombudsman Parlimen Sweden Erik Nymansson dan Penasihat Undang-undang Kanan, Pengarah Penyelaras Antarabangsa Parlimen Sweden Charlotte De Geer Fallman di Pejabat Ombudsman Parlimen Sweden, di sini, pada Isnin.


Mengulas lanjut mengenai lawatan penanda aras itu, Premier menjelaskan, ia untuk mengkaji, memahami dan menanda aras struktur pentadbiran dan tadbir urus ombudsman di Sweden.


“Bukan itu sahaja, lawatan ini juga untuk mendapatkan input undang-undang dan prosedur bagi Ordinan Ombudsman negeri ini.


“Di samping itu, kita juga dapat mempelajari bagaimana ombudsman memainkan peranannya dengan berkesan,” jelasnya.


Sementara itu, Premier berkata, seiring dengan hasrat Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, kerajaan akan melakukan beberapa pengubahsuaian dan penyesuaian.


“Pengubahsuaian dan penyesuaian ini dilakukan bagi memenuhi keperluan sistem, budaya dan amalan tempatan.


Kerajaan Sarawak juga yakin, aspirasi ini hendaklah dilengkapkan dengan amalan terbaik ketelusan, tadbir urus yang baik dan integriti dalam agensinya,” ujarnya.


Tambahnya, institusi ombudsman sangat penting dalam menjaga hak dan kepentingan rakyat serta menggalakkan tadbir urus yang baik dan berkesan.


Dalam masa sama, Premier turut menghadiri jamuan penghargaan di Stockholm dan beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Duta Malaysia ke Sweden dan Pejabat Ombudsman Parlimen Sweden dalam memastikan Sarawak melaksanakan Ordinan Ombudsman Sarawak pada masa akan datang.


Hadir sama dalam lawatan tersebut, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Duta Besar Malaysia ke Sweden Hafizah Abdullah dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru