
KUCHING: Universiti Swinburne Kampus Sarawak akan menubuhkan fakulti perundangan yang menawarkan jurusan pengajian berkaitan undang-undang Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Senat Akademik Universiti Swinburne di Australia telah bersetuju dengan cadangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan fakulti undang-undang di kampus universitinya di negeri ini.
Menurutnya, antara mata pelajaran elektif pengajian jurusan tersebut adalah untuk membuat penyelidikan dan kajian mengenai undang-undang termasuk Perlembagaan yang terdapat di Sarawak.
“Saya difahamkan bahawa universiti-universiti di Semenanjung tidak menawarkan subjek elektif seperti undang-undang Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Kita tidak tahu bagaimana undang-undang tersebut wujud, jadi Sarawak berkehendakkan pengajian akademik mengajar mengenai perundangan kita di sini termasuk NCR dan MA63 kerana ia tidak diajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Perak 25 Tahun SMK Agama Tun Ahmad Zaidi di sini, malam tadi.
Susulun persetujuan berkenaan katanya, subjek elektif tersebut akan ditawarkan di Universiti Swinburne Kampus Sarawak.
“Pelajar jurusan tersebut kemudian akan berpeluang untuk melanjutkan pengajian peringkat antarabangsa di Melbourne, Australia.
‘Kalau lulus, mereka akan menjadi ahli Persatuan Peguam Victoria dan boleh menjadi peguam di Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya, menjadi keperluan untuk memahami perlembagaan dan undang-undang Sarawak bagi memastikan hak rakyat negeri ini sentiasa terjaga.
