Syabas, rakyat patuh!

KUCHING:Penguatkuasaan penggunaan pelitup muka yang diwajibkan di beberapa tempat awam mulai semalam mendapat perhatian penduduk setempat.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati, kebanyakan masyarakat mengambil serius isu tersebut di samping mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan sebaik-baiknya.

Semua masyarakat memainkan peranan masing-masing pada hari pertama penguatkuasaan arahan tersebut tanpa mengira peringkat umur.

Hal ini jelas kerana semua pihak kelihatan menggunakan pelitup muka ketika memasuki pasar raya Golden Dragon di Metrocity di sini, semalam.

Selain itu, kebanyakannya turut mengamalkan penjarakan fizikal.

Pengurusan premis juga menunaikan tanggungjawab dengan menyediakan ruang untuk menulis nama dan pemeriksaan suhu badan bagi pelanggan yang ingin membeli-belah.

Terdahulu, kerajaan memutuskan bahawa mulai 1 Ogos, pemakaian pelitup muka di tempat awam termasuk di dalam pengangkutan awam serta lokasi tumpuan diwajibkan.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, keputusan itu dibuat berikutan terdapat peningkatan kes baharu positif Covid-19 setiap hari yang kini kembali kepada dua angka.

Suara Sarawak