ARTIKEL

TAKTIK…Taktik baharu sindiket dadah menggunakan bungkusan makanan haiwan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Syabu 24.4kg gagal diseludup ke Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sindiket pengedaran dadah dikesan tidak lagi menggunakan bungkusan teh Cina, sebaliknya dadah jenis methamphetamine dibungkus menggunakan bungkusan makanan haiwan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Terbaru, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 24.4kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM872,000 yang diseludup masuk ke Kuching pada 22 Mac lepas.

Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata, Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah menyita dua bungkusan yang dikirim melalui perkhidmatan kurier disyaki mengandungi dadah berbahaya pada Jumaat lepas.

“Dua bungkusan disyaki mengandungi dadah berbahaya tersebut telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 18 Mac 2024.

“Berdasarkan kepada nota penghantaran tersebut, bungkusan itu dihantar dari Shah Alam, Selangor kepada seorang wanita yang beralamat di sebuah apartment di Taman Stapok, Kuching,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Norizan, bungkusan tersebut dihantar ke Kuching menggunakan akaun perniagaan atas talian terkemuka melalui laluan Shah Alam – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur – Lapangan Antarabangsa Kuching – Kuching.

Katanya, sepasukan pegawai dari Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah melakukan pemantauan dan pemerhatian ke atas penghantaran dua bungkusan berkenaan yang dikendalikan oleh syarikat kurier.

“Bagaimanapun, penerima enggan menerima bungkusan di lokasi alamat yang tertera pada nota penghantaran dan sebaliknya, meminta untuk membuat tuntutan melalui kaunter syarikat kurier berkenaan.

“Intipan dan penyamaran telah dilakukan selama empat hari di kaunter syarikat kurier namun tiada individu yang tampil untuk membuat tuntutan dan bungkusan tersebut telah disita pada 22 Mac 2024.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas dua bungkusan tersebut telah membawa kepada penemuan sejumlah 24,400 gram ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan nilai pasaran lebih kurang RM872,000, dibungkus dengan plastik lutsinar dan dimasukkan ke dalam bungkusan makanan haiwan,” jelasnya.

Sehubungan itu kata Norizan, Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah menggerakkan usaha untuk mengesan individu berkaitan dengan rampasan tersebut dengan berpandukan maklumat yang diperoleh dari pengendali perkhidmatan kurier; penyedia perkhidmatan atas talian; rekod telekomunikasi dan rekod perbankan individu-individu berkaitan.

Berdasarkan jumlah berat dadah sebanyak 24,400 gram yang diperoleh katanya, dianggarkan seramai lebih 120,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala individu yang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya boleh dihukum dengan penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 15 sebatan,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau berkata bagi tempoh Januari hingga 22 Mac 2024, JKDM Sarawak telah merekodkan rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak 138.7 kilogram yang dianggarkan bernilai RM4,370,467.

Justeru, beliau menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan dadah dan barangan yang lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

TAKTIK…Taktik baharu sindiket dadah menggunakan bungkusan makanan haiwan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

BERITA LAIN

Mangsa kebakaran di Kampung Kelka disantuni

SIMUNJAN: Nasib mangsa kebakaran di Kampung Kelka Ulu, Simunjan, Abdul Rahman Abdullah terus mendapat perhatian dua wakil rakyat di kawasan terbabit iaitu Ahli Parlimen P.200

BERITA TERBARU