Syabu dan pil estacy lebih setengah juta dirampas

SERIAN: Cubaan tiga individu lelaki membawa masuk RM536,288 dadah jenis syabu dan pil estacy pelbagai jenis ke Indonesia menerusi jalan Sungai Paoh gagal selepas kenderaan dinaiki mereka dikesan polis.

Kejadian disedari sepasukan anggota dari Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching ketika membuat rondaan menemui sebuah kereta Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan di lokasi sekitar jam 4 petang.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata menerusi satu kenyataan mengesahkan ketiga-tiga suspek dikatakan bertindak keluar daripada kereta terbabit lalu melarikan diri ke dalam semak selepas polis menghampiri kenderaan terbabit.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai sebuah beg galas di tempat duduk belakang motokar tersebut yang berisi tujuh bungkusan pita pelekat berwarna kekuningan.

“Tiga daripadanya mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat tiga kilogram manakala empat bungkusan lain mengandungi pil-pil estacy berwarna biru, perang, merah jambu berjumlah 19,516 biji,” katanya.

Pada masa sama Mancha mengesahkan salah seorang daripada mereka (suspek) yang merupakan warga Indonesia berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan manakala dua daripadanya kini masih dikesan.

Tambahnya, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

PIL… Pil estacy pelbagai jenis yang ditemui didalam kenderaan

Suara Sarawak