KUCHING: Lebih 50 wartawan, editor serta subeditor Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune menghadiri Seminar Penulisan Bersama Syahril A.Kadir, di sini, hari ini.
Perkongsian ilmu oleh bekas wartawan Utusan Malaysia, berpengalaman lebih sedekad dalam dunia kewartawanan khususnya di meja jenayah itu diadakan di Pusat Inovasi Warisan Kreatif SMA.
Beliau juga pernah membuat liputan di hampir kesemua negara ASEAN dan beberapa buah negara benua Afrika seperti Afrika Selatan, Tanzania dan Zimbabwe.
Pengisian seminar hampir tiga jam itu meliputi pengalaman beliau ketika membuat liputan kes-kes jenayah menggemparkan negara seperti pembunuhan Norita Samsuddin, Canny Ong dan Altantuya Sharibuu.
Syahril turut berkongsi pengalaman dalam membuat laporan khas terutama melibatkan jenayah serta tips menjadi wartawan berkualiti.

Seminar yang berakhir pada jam 12 tengah hari tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada wartawan dalam meningkatkan kemahiran penulisan untuk menghasilkan karya yang berkualiti.
Sebelum ini Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune telah mengendalikan lebih 25 siri latihan sepanjang tahun sebagai motivasi kepada wartawan.
Seminar tersebut turut dihadiri Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahrin Yusri yang pernah memenangi Hadiah Kewartawanan Kajai pada 2007.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune, Dr Jeniri Amir; Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak Dr Zaidi Razak; Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune, Mohd Sardon Zainal dan Eksekutif Editor Suara Sarawak, Rohana Wahed.
