Syukuri nikmat perpaduan

DARO: Perpaduan yang sedia terjalin perlu dikekalkan bagi menjamin kelangsungan kemajuan dan pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, berkat keamanan, rakyat Sarawak khususnya masyarakat Islam bertuah kerana hidup penuh rukun dan damai.

Katanya, suasana itu jauh berbeza dengan keadaan negara Islam lain yang sentiasa dilanda pergolakan dan peperangan.

“Hubungan baik antara kaum merupakan azimat penting yang dapat membantu kelangsungan pembangunan.

Safiee sempat meninjau ruangan surau yang akan diperbesarkan.

“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan masyarakat Islam agar terus berusaha memelihara dan mengukuhkan perpaduan,” katanya pada program bersama rakyat di Surau Darul Ihsan Kampung Badong semalam.

Beliau berkata, usaha murni itu tidak hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata namun perlu mendapat sokongan semua dan dilaksanakan secara menyeluruh.

Pada masa yang sama katanya, pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan setiap individu juga memainkan peranan penting.

 

Mengabadikan kenangan bersama kariah yang hadir

“Keamanan dan keharmonian kaum yang kita kecapi hari ini perlu dijaga dan disyukuri. Jangan mencemarinya dengan amalan negatif tidak berasas kerana ia boleh memusnahkan segala yang telah kita bina,” katanya.

Hadir sama Penghulu Yusuf Bakeri, Ketua Kampung Badong, Haslimi Hassan, Pengerusi Surau, Abang Shamsure Abang Wahap dan  penduduk kampung.

Program diserikan dengan takzirah Pegawai Tabung Baitulmal Daro, Yusup Lai dan acara simbolik perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung Badong yang baharu.

Safiee menyampaikan pesanan dalam ucapannya.