Ta Ann bagi sumbangan RM100,000 untuk pembangunan sosial

BINTULU: Ta Ann menyampaikan sumbangan bernilai RM100,000 kepada Jawatankuasa Tabung Pendidikan Sekutan sebagai akses pembangunan modal insan dalam bidang pendidikan di samping menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar miskin dan kurang berkemampuan di kawasan Silas, Ulu Sebauh.

Simbolik penyampaian replika cek kepada pengerusi Jawatankuasa Tabung Pendidikan Sekutan, Tuai Rumah Meikle Ding dilakukan Pengerusi Eksekutif Ta Ann Holdings Berhad Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi di Hotel Promenade, di sini, malam tadi.

Menteri Kemudahan Utiliti Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom yang juga ADUN Kemena turut menyaksikan majlis penyerahan itu.

Ini merupakan sumbangan kali keenam bernilai RM100,000 daripada Ta Ann ketika Hamed Sepawi mengumumkan perkara itu pada 2014 bahawa RM1 juta akan disumbangkan kepada tabung berkenaan dalam jangka masa 10 tahun.

Turut disampaikan juga replika cek berjumlah RM30,000 kepada Jawatankuasa Kebajikan Rekreasi dan Sosial Pejabat Daerah Sebagai untuk tajaan program Le Tour De Sebauh, pada hujung minggu lalu.

Hamed menyerahkan replika cek kepada Dr Stephen Rundi sebagai tajaan aktiviti Le Tour De Sebauh.

Rundi, dalam ucapannya, berpendapat pendidikan berkualiti adalah kunci kejayaan dan memuji komitmen sokongan Ta Ann menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) memastikan pelajar yang layak berpeluang merealisasikan impian melanjutkan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Saya turut berasa bangga memaklumkan bahawa rumah panjang kami di Sekutan, bakal melahirkan empat lagi graduan perubatan dalam masa terdekat.

“Bagi mewakili komuniti Silas-Sebauh, saya berterima kasih kepada Ta Ann kerana memainkan peranan amat penting dalam kejayaan ini dan sebagai contoh dan teladan bagaimana mengurus tanah dengan betul mampu meningkatkan taraf hidup peserta projek serta generasi masa hadapan,” ujarnya.

Ta Ann giat menjalankan pelbagai aktiviti CSR selari dengan komitmen syarikat sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.

Tahun lalu, Ta Ann Pelita Silas Plantation Sdn Bhd mengagihkan bayaran insentif kepada 773 orang peserta projek daripada 32 rumah panjang untuk projek kelapa sawit di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kawasan Silas-Sebauh.

Pihak syarikat juga membayar insentif setiap tahun sejak 2010.

Ta Ann Pelita Silas Plantation Sdn Bhd merupakan syarikat usaha sama, Ta Ann dan Pelita dalam projek pembangunan tanaman kelapa sawit berdasarkan konsep baharu NCR di kawasan Silas-Sebauh, Bintulu.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL… Hamed menyerahkan replika cek kepada Meikle Ding dengan disaksikan Dr Stephen Rundi.

Suara Sarawak