TABIAT makan di luar bukan perkara baru yang diamalkan oleh masyarakat di Malaysia dan ia menjadi salah satu pilihan mudah kepada masyarakat di negara ini.
Ia juga menjadi gaya hidup yang dipraktikan oleh individu bujang, atau mereka yang sibuk bekerja.
Perkara ini disokong dengan kemudahan membuat pesanan makanan dalam talian yang sinonim dengan ayat di hujung jari sahaja.
Mereka yang sibuk bekerja sudah pasti tidak mempunyai masa yang cukup untuk memasak makanan di rumah atau mereka yang penat juga akan membuat pilihan yang mudah untuk makan.
Perkara ini semakin menjadi trend hangat dalam kalangan masyarakat di negara kita ketika ini dan sudah pasti bukan tabiat membungkus makanan di gerai mamak atau restoran sahaja yang menjadi pilihan tetapi juga pembelian makanan segera.
Jika dilihat daripada gaya hidup begini, ia bukanlah satu perkara yang baik untuk penjagaan kesihatan masa panjang tetapi apakah pilihan kepada individu bujang atau mereka yang
sibuk bekerja?
Tepuk dada, tanya selera. Dalam hal berkaitan, isu makan di luar juga dikatakan pembaziran namun adakah membeli keperluan makanan asas atau barang dapur setiap bulan dikatakan berjimat?
Jika seseorang tidak mempunyai masa untuk memasak dan menyediakan makanan di rumah, lalu barangan tersebut rosak atau luput adakah ini bukan pembaziran?
Hidup dalam budaya moden, kemudahan dengan satu masakan yang ringkas sudah memadai, bukan bermakna kita tidak boleh memasak atau menggalakkan pembelian di luar sahaja tetapi ini adalah hakikat kepada kehidupan masa kini
Selain itu, pemilihan makanan segera seperti mi juga tidak baik untuk kesihatan jika sering diamalkan.
Bagaimanapun ia adalah makanan serta sajian yang mudah dan cepat.
Justeru, makanan tin juga akan menjadi pilihan kepada golongan muda masa kini kerana ia ringkas dan penyediaannya juga mudah, lalu apakah yang perlu dilakukan untuk menjaga kesihatan?
Memang benar, tidak ada siapa pun yang menafikan bahawa pemilihan makanan segera tidak baik untuk kesihatan tetapi apakah cara untuk membolehkan golongan yang sibuk bekerja sempat menyediakan makanan sendiri di rumah?
Adakah cukup dengan pembahagian masa semata-mata? Apabila tiada penyediaan makanan seimbang, kemungkinan juga perkara ini akan membuka ruang kepada risiko kencing manis, darah tinggi atau kolesterol bahkan kegemukan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar amat gusar kerana Malaysia dikategorikan sebagai negara tidak sihat dan kesedaran mengenai aspek kesihatan yang masih rendah dalam kalangan rakyat adalah antara faktor utama terjadinya perkara sedemikian.
Berdasarkan statistik, Malaysia antara negara tertinggi dalam beberapa masalah kesihatan termasuk penyakit kronik iaitu diabetes, darah tinggi, kolesterol, masalah obesiti dan jantung.
Laporan tinjauan Morbiditi Peringkat Kebangsaan 2019 (National Morbidity Survey 2019) menunjukkan bahawa sebanyak 1.7 juta rakyat Malaysia mempunyai tiga faktor risiko utama yang terdiri daripada darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.
Ia tersebut juga menunjukkan, seorang daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes, tiga daripada 10 orang pula mempunyai darah tinggi dan empat daripada 10 individu mengalami kolesterol tinggi.
Lebih membimbangkan adalah penyakit kencing manis atau diabetes merupakan penyakit kronik yang sangat bahaya sehinggakan ia digelar sebagai pembunuh senyap.
Ini kerana, seseorang itu tidak berasa sakit walaupun darah mereka sudah tinggi dengan kandungan gula.
Pada masa yang sama kajian juga menunjukkan, tempoh senyap atau masa tanpa gejala itu adalah lebih daripada lima tahun sebelum seseorang dikesan mendapat diabetes jenis dua.
Sehubungan itu, apakah tindakan yang perlu diambil oleh individu yang sibuk bekerja untuk menjaga kesihatan?
Adakah cukup dengan mereka mengamalkan gaya hidup sihat atau pemakanan sihat? Begini, tiada siapa dapat menafikan pilihan seseorang terhadap gaya hidup atau tabiat pemakanan mereka kerana itu adalah hak mereka sendiri bagaimanapun istilah mencegah lebih baik daripada mengubati itu perlu ditanam dalam setiap diri kita. Kerana kita tidak mahu menghadapi serangan jantung secara senyap.
Dalam hal berkaitan, tiada siapa dapat mengatakan bahawa tabiat makan luar membawa kepada perkara negatif – tetapi dalam perkara ini ia bergantung kepada pemilihan makanan sama ada sihat atau tidak.
Kesimpulannya, ia bergantung kepada diri masing-masing kerana pilihan terletak kepada diri kita sendiri.
Pembacaan atau pandangan seseorang hanya panduan untuk mengikutinya atau terpulang kepada diri sendiri.