KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) berjaya mengutip sejumlah RM4.05 juta zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Pengurus Besarnya Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, hasil kutipan tersebut juga adalah berdasarkan kadar bayaran RM7 untuk setiap individu.
Katanya, beliau bersyukur kerana ia menunjukkan satu perkembangan yang baik kerana umat Islam sudah menunaikan kewajiban untuk membayar zakat fitrah.
“Tahun ini kalau kita lihat trend menunjukkan bahawa zakat fitrah tidak begitu tinggi meningkat kerana kadar bayaran masih kekal RM7.
“Bagaimanapun, dari segi penambahan bilangan individu yang layak membayar zakat itu ada kerana umur sehari pun dikira perlu membayar zakat di bawah tanggungan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Bersama Pelanggan (Rumah Terbuka) TBS 2023, di Ibu Pejabat TBS, Jalan Batu Kawa, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan TBS juga menggalakkan bayaran zakat harta melibatkan potongan gaji dalam kalangan pekerja.
“Kalau dilihat juga selama ini 65 peratus hasil kutipan zakat TBS adalah daripada potongan gaji, ia mudah dan tidak begitu membebankan kerana potongan setiap bulan setahun.
“Justeru, kami juga bersyukur dan berterima kasih bukan sahaja kepada pembayar zakat tetapi majikan yang sudi memberikan kerjasama supaya hasil itu dapat kita berikan semula kepada mereka yang layak dan memerlukan,” ujarnya.
Sementara, majlis rumah terbuka anjuran TBS itu turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan bagi tahun 2022 berjumlah RM1,060,000 oleh Etiqa Takaful yang diserahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Yunos Mohd So’od kepada Abang Shibli.

