ARTIKEL

Anwar (tengah) menyampaikan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada Chia Kan Nyuk pada Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2024, hari ini, yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dan Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Tabung Kasih@HAWANA: Bantuan paling bermakna, penerima rasa dihargai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA, Chia Kan Nyuk, wartawan akhbar ‘See Hua Daily News’ di Miri, bahagian utara Sarawak, menyifatkan sumbangan yang diterimanya sebagai sesuatu yang amat bermakna.

Penghidap kanser payudara sejak Julai 2023 itu terharu apabila menerima sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA 2024) di sini hari ini.

Chia, yang bertugas sebagai wartawan selama 31 tahun, berkata sumbangan itu amat membantunya dalam perjuangannya melawan penyakit yang dihidapi.

“Sumbangan ini amat besar maknanya bagi saya, meringankan beban saya dalam proses pemulihan ini,” katanya.

Wanita berusia 53 itu berkata beliau akan terus berjuang melawan penyakit kanser dan berharap diberikan kekuatan untuk sembuh.

Empat lagi penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA 2024 ialah bekas wartawan di Sarawak, iaitu Thng Joo Hua, 38, Jonathon Bullet Henry Embaya, 56, Tukino Mapol, 67 dan Angelina Sinyang, 49.

Thng, yang pernah berkhidmat di ‘Sin Chiew Daily’ selama 14 tahun, disahkan menghidap kanser tulang nasofarinks sejak Januari 2022 manakala Jonathon Bullet, bekas jurufoto ‘The Borneo Post’ selama 10 tahun, diserang angin ahmar pada 2021.

Tukino, yang merupakan bekas jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM), pula mengalami masalah buah pinggang sejak 2017 selepas bersara wajib manakala Angelina Sinyang, bekas Ketua Biro ‘Utusan Malaysia’ cawangan Sarawak sebelum menjadi Koordinator Astro Awani Sarawak pada Julai 2019 hingga Mac 2022, telah disahkan menghidap kanser payudara pada Oktober 2023.

Pada 2023, Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) telah memperkenalkan Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu wartawan veteran dan pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, ketika berucap pada Majlis Kemuncak HAWANA hari ini berkata setakat ini, seramai 102 orang telah dijejaki dan akan dibantu menerusi tabung itu agar kebajikan pengamal media terbela. – BERNAMA

BERITA LAIN

Kapit berpotensi pengeluar utama koko

KOTA SAMARAHAN: Bahagian Kapit mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai salah satu kawasan pengeluar utama koko di Sarawak. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam

BERITA TERBARU