Tahniah Belaban Hidup Infeksi Zombie!

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberikan pujian kepada penerbit dan pasukan produksi atas kejayaan filem berbahasa Melayu-Iban berjudul Belaban Hidup: Infeksi Zombie yang memenangi kategori filem cereka terbaik di Karnival Filelm Dunia 2021 yang diadakan di Singapura pada 19 Mac.

“Ia sebuah filem yang menarik,” kata Abdul Karim mengenai filem tersebut yang dihasilkan dan diarahkan oleh bakat tempatan, Ray Lee dengan skrip ditulis oleh isterinya dari Limbang, Misha Minut – juga penerbit manakala 50 peratus krewnya dari Sarawak.

Menurutnya, filem tersebut menunjukkan bakat tempatan boleh menghasilkan filem panjang pelbagai genre termasuk fiksyen dan seram yang terbukti antara genre popular dalam industri hiburan global. “Sangat menggembirakan bagi kita melihat cereka penuh skrip filem mengenai pertempuran pahlawan Iban menentang zombie yang dapat menarik banyak perhatian daripada penonton tempatan dan negara lain.

“Malah satu kebanggaan apabila memenangi anugerah dalam karnival filem antarabangsa berprestij dan ia satu prestasi luar biasa bagi penerbit tempatan.

“Kita berbangga kerana filem ini turut tercalon untuk kategori filem cereka terbaik dan anugerah seram terbaik pada Festival Filem Simbolik Antarabangsa (ISAFF) di St Petersburg, Russia dan berpotensi untuk memenangi hati juri,” katanya.

Abdul Karim turut mengucapkan taniah dengan pasukan produksi kerana filem itu juga tercalon pada Festival Filem Marina Del Rey Los Angeles (LAMDRFF) tahun ini dan filem tersebut mempunyai potensi mendapat lebih banyak anugerah pada masa hadapan.

Beliau berkata, filem tersebut membuka mata penonton terutama dari negara lain yang menunjukkan minat dalam kecantikan asli, budaya unik dan etnik yang terdapat di Sarawak yang boleh memberikan mereka motivasi untuk melawat negeri ini pada masa akan datang.

“Kita tahu filem ini dapat membantu kita untuk menarik lebih ramai pelancong melawat Sarawak selepas pandemik Covid-19 reda. “Ini merupakan peluang baik baik kepada Sarawak dan terima kasih kepada pasukan produksi yang mengharumkan nama di peta global,” kata Abdul Karim.

Filem tersebut ditayangkan di pelbagai festival filem di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Singapura, Kanada, Turki, Russia, Greece, Slovakia, Perancis, Jerman, Italy, India, New Zealand, Australia, Sweden, Argentina, dan Puerto Rico.

Suara Sarawak