ARTIKEL

Tai Nao’ lambang kehidupan baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HARI ini masuk ke minggu keempat saya berkongsi cerita mengenai adat perkahwinan Orang Ulu yang melibatkan perkahwinan abang saudara saya, Mark Dennis dengan Low Sze Sheen di Miri.

Saya berkongsi maklumat ringkas mengenai adat perkahwinan yang diwarisi secara turun-temurun daripada keluarga sebelah bapa saya, khususnya arwah nenek.

Sejujurnya, saya tidak begitu arif tentang selok-belok adat perkahwinan ini, khususnya adat perkahwinan Orang Ulu.

Hal ini demikian kerana setiap keluarga mempunyai aturan adat perkahwinan yang tersendiri. Contoh paling mudah ialah barangan hantaran yang digunakan dalam upacara perkahwinan adat adalah berbeza antara satu keluarga dengan keluarga yang lain.

Untuk makluman, masyarakat Kenyah terdiri daripada pelbagai subkaum dan masing-masing mempunyai adat tersendiri dalam pelbagai perkara, termasuk upacara perkahwinan, kematian, majlis pemberian nama anak dan pembinaan rumah.

Pada minggu pertama, saya memberikan pengenalan ringkas mengenai adat perkahwinan Orang Ulu.

Pada minggu kedua pula, saya menghuraikan atur cara perkahwinan tersebut yang melibatkan Adat Tepuku Te’ dan Adat Tai Nao’, termasuk barangan yang digunakan dalam kedua-dua upacara berkenaan. Minggu lalu, saya bercerita mengenai barangan hantaran perkahwinan.

Minggu ini, saya akan bercerita mengenai peringkat terakhir dalam upacara perkahwinan Orang Ulu, iaitu Adat Tai Nao’. Sebelum Adat Tai Nao’ berlangsung, upacara tersebut perlu didahului dengan Adat Tepuku Te’.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Adat Tepuku Te’ ialah upacara pertunangan rasmi dalam tradisi masyarakat Kenyah yang menyerupai konsep merisik dan mengikat tali pertunangan.

Sementara itu, perjalanan untuk membawa tanda pertunangan ke rumah bakal pengantin perempuan dikenali sebagai Adat Tai Nao’.

Perjalanan menghantar tanda pertunangan dalam Adat Tai Nao’ membawa makna bermulanya kehidupan baharu bagi pasangan pengantin berkenaan.

Istilah Tai Nao’ merujuk kepada tai ti uma, tai kebun, tai mengasu dan tai ngela, iaitu pergi bekerja di sawah, pergi ke kebun, pergi memburu dan pergi menjala ikan.

Namun, dalam upacara perkahwinan adat ini, Tai Nao’ membawa pengertian simbolik yang mulia, iaitu pita pengudip atau usaha mencari rezeki untuk keluarga yang baharu dibina. Dalam usaha mencari rezeki dan membina keluarga, suami isteri perlu bekerjasama serta saling menyokong.

Secara umumnya, upacara perkahwinan Orang Ulu yang melibatkan Adat Tai Nao’ memerlukan antara empat hingga lapan pengiring. Sekiranya pengiring dipilih secara berpasangan, mereka mestilah pasangan suami isteri.

Mereka akan mengiringi pasangan pengantin sepanjang upacara tersebut. Pengiring juga boleh terdiri daripada individu yang belum berkahwin.

Bagaimanapun, pemilihan pengiring perlu dilakukan dengan berhati-hati. Pengiring mestilah seseorang yang dianggap “bersih” menurut kepercayaan tradisional masyarakat berkenaan.

Dalam konteks ini, pasangan suami isteri yang dipilih sebagai pengiring tidak pernah kehilangan anak dan tidak mempunyai anak yang mengalami ketidakupayaan.

Pada zaman dahulu, golongan tua-tua percaya pengiring boleh mempengaruhi kehidupan pasangan pengantin pada masa hadapan. Oleh itu, pengiring yang dianggap “bersih” diperlukan dalam upacara tersebut.

Untuk makluman, upacara perkahwinan adat Orang Ulu lazimnya dilaksanakan mengikut adat keluarga sebelah pengantin perempuan, khususnya sebelah ibunya.

Sekiranya ibu bapa bakal pengantin tidak pernah melaksanakan upacara perkahwinan adat, anak mereka juga tidak dibenarkan melaksanakan upacara berkenaan. Hal ini menunjukkan perkahwinan adat bukanlah sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya.

Bercakap mengenai upacara Adat Tai Nao’ dalam perkahwinan Mark Dennis dengan Low Sze Sheen, pengiring mereka terdiri daripada enam orang, iaitu tiga pasangan suami isteri. Pengiring tersebut melambangkan konsep tai senguyun, iaitu semangat bekerjasama dalam masyarakat.

Dalam konteks ini, pengiring boleh diibaratkan sebagai penduduk kampung yang pergi bersama-sama ke sawah untuk mengusahakan tanaman dan mencari rezeki.

Mengikut adat turun-temurun yang diwarisi daripada nenek moyang keluarga kami, para pengiring dan pasangan pengantin akan berjalan mengelilingi bulatan sebanyak lapan pusingan. Jumlah pusingan tersebut ditetapkan berdasarkan bilangan manik dalam Adat Tepuku Te’.

Enam orang pengiring yang terdiri daripada tiga pasangan suami isteri akan berdiri dalam satu barisan mengikut susunan manik dalam Adat Tepuku Te’. Terdapat enam biji manik lukut bala, manakala dua biji manik kelem menjadi simbol kepada pasangan pengantin.

Dalam proses keluar bekerja yang disebut Tai Nao’, sebutir beras yang tidak pecah akan diletakkan di atas sebilah parang pada setiap pusingan. Perbuatan tersebut membawa maksud seseorang perlu makan sebelum keluar bekerja.

Beras yang diletakkan di atas parang juga melambangkan kepercayaan dalam adat asal keluarga kami bahawa makanan sentiasa memberikan kekuatan dan kesihatan kepada tubuh.

Ketika melaksanakan lapan pusingan dalam Adat Tai Nao’, para pengiring dan pasangan pengantin juga akan minum sedikit tuak. Tuak tersebut melambangkan keperluan manusia terhadap air untuk menghilangkan rasa dahaga.

Dalam barisan tersebut, seorang pengiring lelaki akan berada di bahagian paling hadapan. Dia akan memotong kayu menggunakan parang sebagai simbol perbuatan mengambil kayu api atau menebas laluan ketika keluar mencari rezeki.

Pengiring lelaki itu kemudian akan mengambil kayu berkenaan lalu memasukkannya ke dalam kiba atau belanyat yang dibawa oleh pengiring wanita di barisan paling belakang. Kayu tersebut kemudiannya akan dibawa pulang ke rumah.

Keseluruhan proses ini diulang dalam lapan pusingan dengan tatacara yang sama. Pada masa sama, pemain sanangakan mengikuti rombongan dari bahagian paling belakang.

Dia bertindak sebagai pemuzik pengiring dan pelawak untuk memeriahkan majlis. Menurut kepercayaan tradisional, muzik tersebut juga bertujuan menghalau roh jahat yang dipercayai boleh mengganggu kehidupan pasangan pengantin.

Demikianlah maklumat ringkas mengenai proses Adat Tai Nao’ dalam majlis perkahwinan adat Mark Dennis dengan Low Sze Sheen yang berlangsung pada 18 April lalu di Miri.

Majlis perkahwinan adat mereka disaksikan oleh Pemanca Anthony Kuleh Lalok yang bertanggungjawab terhadap kawasan dari Long San hingga Long Palai, Baram.

BERITA LAIN

Kesedaran sivik masih rendah

SEJAK awal bulan ini, laman Facebook saya dipenuhi dengan pelbagai cerita, video, berita dan gambar mengenai perlumbaan Formula Satu (Formula One) yang berlangsung di Litar

Pendidikan kunci ubah nasib keluarga

PENDIDIKAN dan penguasaan kemahiran merupakan pelaburan jangka panjang yang mampu mengubah taraf hidup seseorang, sekali gus membuka peluang kepada generasi muda untuk membina masa depan

BERITA TERBARU