
KUCHING: Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi penggal ketiga hari ini.
Beliau mengangkat sumpah pelantikan semula sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini, setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menerima Surat Cara Pelantikan di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.
Istiadat angkat sumpah yang diadakan di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini dimulakan dengan memohon perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi memulakan istiadat oleh Pendaftar Istiadat Datu Mustapa Han.
Sejurus itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Johari Tun Openg membacakan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Taib kemudian mengangkat sumpah pelantikan serta menandatangani Surat Angkat Sumpah bersaksikan Hakim Besar Sabah Sarawak Tan Sri Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim dan menandatangani Surat Pengisytiharan disaksikan oleh Abang Johari.
Lantikan pertama Taib sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak adalah pada 1 Mac 2014 manakala lantikan kedua pada 1 Mac 2018.
Terdahulu, Taib menerima Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama Batalion ke-10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di perkarangan DUN.
Hadir sama isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion serta tetamu kenamaan yang lain.
