Taib Mahmud berkunjung ke rumah rakan karib

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud beserta isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib turut berkunjung ke kediaman Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak, Datuk Patrick C.J Liew bagi memeriahkan suasana sambutan Tahun Baru Cina hari ini.

Ketibaan mereka ke rumah terbuka Datuk Patrick disambut mesra oleh ahli keluarga serta tetamu yang hadir.

Beliau bersama isteri turut merakam kenangan bersama ahli keluarga Patrick sempena majlis tersebut.

Datuk Patrick turut berkongsi kegembiraan atas kunjungan TYT ke kediamannya bagi memeriahkan suasana rumah terbuka beliau.

“Sebagai rakan karib, saya amat menghargai kehadiran beliau ke rumah terbuka ini sambil mengeratkan hubungan bersama keluarga saya serta pengunjung yang hadir ,” katanya semasa ditemui pemberita petang tadi.

Pelbagai hidangan turut disajikan kepada tetamu terhormat dan pengunjung seperti lemang, rendang daging dan ayam, kuih-muih dan buah-buahan.

Turut mengiringi beliau adalah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dan Menteri Muda Perdagangan dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan(MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais.

Suara Sarawak