KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan balik ke Sarawak tidak lama lagi, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata Abdul Taib kini semakin pulih dan masih berehat di sebuah hospital di luar negara.
“Penjelasannya begini, beliau sedang bercuti di luar negara tetapi tiba-tiba jatuh sakit.
“Keadaannya sekarang sudah pulih dan beliau masih berehat, selepas itu beliau akan balik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Abang Johari berkata perkara itu juga sudah dijelaskan menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada Selasa lalu.
Katanya ia berdasarkan laporan yang diterima daripada hospital luar negara berkenaan.
Dalam kenyataan itu, Hasidah menyatakan tiada keperluan untuk pelantikan pemangku Yang di-Pertua Negeri, memandangkan Abdul Taib masih dapat melaksanakan tugas rasmi dan perlembagaan beliau.