Taib raikan ulang tahun ke-7 sebagai Yang Dipertua Negeri

KUCHING: Hari ini (1 Mac) genap tujuh tahun Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Taib menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 1 Mac 2014 yang telah dua kali menjadi gabenor negeri ini, dan turut melihat dua Ketua Menteri berkhidmat di bawah beliau iaitu Pehin Sri Adenan Satem dan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dilahirkan pada 21 May 1936 dan anak sulung daripada 10 adik-beradik, Taib merupakan seorang peguam yang menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Adelaide, Australia Selatan.

Pada 22 Julai 1963, Taib yang berusia 27 tahun dilantik sebagai salah seorang daripada enam menteri kabinet pertama di bawah pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

Sepanjang penglibatan beliau di dalam politik, Taib menjadi Ketua Menteri paling lama berkhidmat untuk Sarawak iaitu selama 33 tahun termasuk 13 tahun sebagai menteri persekutuan.

Beliau terkenal dengan dasar pembangunan politik dan mentransformasikan Sarawak semasa perkhidmatannya, sekali gus mengekalkan nilai teras rakyat Sarawak.

Taib mengubah landskap ekonomi dan politik Sarawak, meninggalkan warisan yang berkekalan, mencerminkan keunikan identiti rakyat Sarawak serta tekad untuk memelihara keharmonian perkauman dan agama.

Sebagai seorang ahli politik yang bijaksana, penggemar buku dan peminat kepada pelakon lagenda P. Ramlee, Taib turut meminati budaya tempatan serta menerokai keindahan budaya itu menerusi filem dan muzik.

Dalam sesi temu bual bersama New Sarawak Tribune bersempena dengan ulang tahun kelahirannya pada tahun lalu, Taib digambarkan sebagai penghubung kepada rakyat Sarawak, yang mencerminkan perpaduan dalam kalangan rakyatnya.

Sebagai simbol kepada perpaduan Sarawak, Taib dalam ucapannya sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini menegaskan perpaduan perlu dipelihara kerana ia dapat meneruskan pembangunan negeri.

“Sarawak mempunyai reputasi sebagai sebuah negeri yang damai iaitu rakyatnya hidup dalam keadaan bersatu padu dan harmoni walaupun hidup dengan kepelbagaian kaum dan agama.

“Sarawak amat terbuka kepada kepelbagaian budaya, perpaduan dan keharmonian yang seterusnya menjadikan rakyat mampu untuk fokus kepada waktu dan tenaga kepada pembangunan negeri ini,” katanya.

Dirgahayu Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud

Taib bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib

Suara Sarawak