ARTIKEL

KENTAL... Peniaga OKU, Muhamad Saiful Salleh, yang kudung tangan kirinya memasak 4 kg kuetiau di bazar Ramadan di padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan.

Tak kekok masak sebelah tangan, OKU teruskan kelangsungan hidup

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GUA MUSANG, Kelantan: Patah sayap bertongkat paruh.

Meskipun kudung tangan kiri, seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) di bazar Ramadan di sini lincah memasak di depan khalayak ramai demi mencari rezeki untuk keluarga.

Mempunyai kelainan fizikal akibat kemalangan 15 tahun lepas tidak mematahkan semangat Muhamad Saiful Salleh untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga.

Hanya menggunakan sebelah tangan, lelaki berusia 35 tahun itu tidak kekok memasak, mengisi makanan ke dalam bekas serta membungkus makanan.

Berasal dari Sungai Kepa di sini, beliau tidak menganggap kekurangan diri sebagai alasan untuk mengehadkan kemampuan sebaliknya terus berdikari dalam menjana pendapatan sebagai peniaga makanan.

“Saya mula bekerja sebagai pembantu pasar malam dan kehilangan tangan kiri akibat jangkitan kuman pada sendi tulang selepas cedera semasa bermain bola pada 2009,” katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.

Menurut Muhamad Saiful, beliau terpaksa menjalani pembedahan memotong tangan kiri di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) ketika baru menginjak dewasa, iaitu pada usia 20 tahun.

Katanya, selepas menjalani beberapa rawatan pemulihan di HRPZ II, beliau bertekad menjalankan perniagaan masakan sendiri malah berupaya memasak sehingga 40 kilogram (kg) mi, kuetiau dan mi segera setiap hari untuk jualan di bulan Ramadan. 

“Satu kuali besar dapat memuatkan empat kg masakan, sehari saya akan memasak sebanyak 10 kuali untuk jualan.

“Pelanggan memang suka yang panas, jadi selepas sahaja memasak makanan akan habis terjual dalam tempoh 10 minit,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri menjadi seorang OKU sebelum menyertai sebuah institut kemahiran di Bangi, Selangor pada 2011 dalam bidang kulinari. 

“Sejak itu, saya terpaksa membiasakan diri dengan membuat semua pekerjaan dengan keadaan kekurangan fizikal.

“Alhamdulillah, dengan rezeki kerja sendiri, saya boleh menyara keluarga serta dapat membeli kenderaan peribadi dan kenderaan untuk berniaga,” katanya yang bakal menimang anak sulung tidak lama lagi. 

Selain masakan, beliau juga mengembangkan cabang pendapatan dengan berniaga 10 perisa air balang dan buah kurma ketika Ramadan dengan dibantu empat pekerja. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Umat Islam puasa Ramadan dua kali pada tahun 2030

Kalendar Hijriah Islam dihitung berdasar putaran bulan, manakala kalendar Gregorian atau Masehi dikira berdasar perjalanan bumi mengelilingi matahari. Justeru, ini menyebabkan umat Muslim berpuasa 36