INFRASTUKTUR seperi air bersih, elektrik, kesihatan, jalan raya dan harga barangan sentiasa menjadi kayu ukur rakyat atas pimpinan semasa.
Ditambah dengan kepantasan teknologi dan dunia tanpa sempadan, rakyat lebih mudah mengadu kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kekurangan di kawasan mereka.
KETEK AJAK
Pernah tular ayat daripada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg: “Ketek ajak saya tauk dah sama ada jeraya udah polah ka belom… sik dapat sidak mulak saya”.
Ini bermakna setiap wakil rakyat daripada mana-mana parti sekalipun, pihak kontraktor dilantik dan badan bertanggungjawab sentiasa dipantau hasil kerja mereka oleh rakyat.
Justeru, segala aduan boleh disampaikan dan diterima dengan lebih cepat.
Jangan bercakap soal aspirasi negara maju sekiranya keperluan asas masih gagal disempurnakan.
Pun begitu, dalam kepesatan dunia tanpa sempadan ini, timbul persoalan baharu untuk pelaksanaan pembangunan tersebut.
Apa pula kayu ukur pihak berwajib untuk memenuhi keperluan asas rakyat?
Saya tertarik dengan ayat; “tak viral, tak selesai” yang sering digunakan di media sosial, malah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut menggunakan istilah yang sama dalam ucapannya berkaitan isu dan cabaran dalam pendidikan hari ini.
Banyak isu yang terpaksa dibangkitkan oleh rakyat untuk mendapat perhatian dan sentuhan pihak tertentu.
Masalah yang sepatutnya diselesaikan di peringkat ranting dalam kawasan DUN mungkin tidak sampai ke telinga wakil rakyat mereka.
ADUAN
Justeru, pendektan paling mudah dan dekat dengan rakyat ialah kemudahan media sosial menularkan aduan kekurangan di kawasan masing-masing.
Implikasinya, masyarakat di kawasan lain atau penyokong di blok pembangkang mudah menjadikan laporan tersebut sebagai modal politik.
Namun, dari sudut lain pula maklumat tersebut diberi perhatian dan lebih cepat diselesaikan.
Jadi, adakah perlu untuk tular terlebih dahulu untuk menyelesaikan sesuatu masalah?
Penilaian semula harus dilakukan oleh pihak berkaitan agar suara rakyat ini lebih mudah didengar.
Cari punca di bahagian saluran manakah yang menghalang suara tersebut.
Sepatutnya timbul rasa malu pihak berkaitan sekiranya masalah berkaitan kemudahan asas dibangkitkan oleh rakyat.
Sebelum ini, timbul isu dana untuk sekolah daif di Sarawak, apabila tular, ia memaksa Menteri Pendidikan untuk menjelaskan situasi sebenar.
Beliau menafi kan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak menunaikan janji untuk membina bangunan baharu bagi sekolah daif di Sarawak.
Sebaliknya, segala usaha ke arah merealisasikan perkara itu sedang dan masih diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk mengadakan pertemuan dengan pimpinan Kerajaan Negeri Sarawak.
Baru-baru ini, dalam program Kembara Kenali Borneo Seri Paduka Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, rakyat mengambil peluang mengadu berkaitan kemudahan asas di kawasan mereka.
Ada yang mengadu berkaitan jalan raya teruk, kemudahan elektrik dan banjir. Menerusi video yang tular di media sosial juga melihatkan Tunku Azizah mencatat sendiri aduan yang diterimanya.
Terdapat video rakyat Sabah yang berseloroh mengatakan jalan raya di Sabah sepeti jalan di Dubai disebabkan kerja baik pulih dilakukan sebelum bermulanya program Kembara Kenali Borneo.
Dunia tanpa sempadan kini bebas berkongsi dan menyebabkan sesetengah aduan menjadi tamparan hebat kepada pihak tertentu.
Kuasa tular walaupun bersifat sementara, namun kesannya penting untuk tindakan susulan.
BERTINDAK SEBELUM TULAR
Namun, pihak kementerian atau kontraktor pelaksana tidak seharusnya menjadikan konsep tular sebagai ancaman ke atas kerja mereka.
Kemudahan digital ini tidak terhad untuk rakyat, malah pihak berwajib juga boleh memanfaatkannya.
Contohnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) melancarkan kempen MYJalan yang merangkumi sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat kerosakan jalan raya atau perabot jalan.
Pembangunan aplikasi tersebut menjadi platform aduan setempat (one stop centre) bagi memudahkan pengguna membuat aduan.
Sangat mudah dan praktikal membolehkan suara rakyat terus sampai kepada pihak berkaitan.
Seterusnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut membangunkan aplikasi PriceCatcher — membolehkan pengguna merujuk harga terkini barangan dengan pantas.
Banyak aplikasi lain yang boleh dijadikan contoh untuk rakyat terus berhubung dengan pihak berwajib.
Justeru, penggunaan aplikasi tersebut haruslah mudah difaham agar masyarakat tidak beralih ke saluran lain membuat aduan.
Jangan jadikan aduan yang tular sebagai ancaman, sebaliknya diterima dan diberi tindakan segera.
Sebaiknya, jangan tunggu tular untuk bertindak.