Taklimat perumahan HDC : Sambutan luar jangka

SARIKEI: Program taklimat perumahan anjuran Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) mendapat sambutan luar jangkaan dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk dari sekitar daerah ini, semalam.

Program yang diadakan di Dewan Sentral Sarikei itu, dirasmikan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Mohamad Asman Ahmad, Pegawai Kanan Tanah, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Mohd Razali Arshad dan Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Abang Porkan Budiman.

Sehubungan itu, Len Talif yang juga juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang berkata, penganjuran program itu sebahagian usaha murni Kerajaan Sarawak memudahkan rakyat mendapatkan maklumat terkini berkaitan proses permohonan dan langkah pembelian rumah di bawah program HDC.

Sepanjang program katanya, HDC turut memberikan informasi berkaitan pinjaman yang disediakan kerajaan Sarawak dengan lebih mudah dan mempunyai banyak pilihan menarik kepada para pembeli.

Len Talif Salleh (tengah) bersama, Mohamad Asman Ahmad (dua kiri) bersama , Mohd Razali Arshad (dua kanan) dan Abang Porkan Budiman (kanan) menyampaikan taklimat kepada peserta.

Malah menurutnya, program memberi manfaat besar apabila peserta berpeluang mengetahui pelbagai ilmu berkaitan sebagai permulaan untuk membeli rumah, terutamanya melalui program yang dianjurkan pihak HDC.

“Objektif program ini ialah memberi penerangan kepada semua rakyat yang berminat untuk mendengar penjelasan daripada agensi yang terlibat membangunkan perumahan di negeri ini.

“Sasaran awal kita hanya seramai 200 ke 300 peserta sahaja namun, kita gembira apabila program ini mendapat permintaan dan sambutan begitu mengalakkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Sarawak merancang membina 2,500 rumah mampu milik di bawah Projek Rumah Spektra Permata dalam tempoh dua tahun akan datang melalui program perumahan HDC.

“Anggaran jualan bagi Rumah Spektra Permata ialah kira-kira RM120,000 hingga RM160,000 seunit. Jenis rumahnya pula ialah rumah teres setingkat dan rumah setingkat berkembar.

“Unit-unit ini akan dijual kepada pemohon yang layak dan terbuka kepada mereka yang belum membina rumah lot seperti yang diperuntukkan di bawah Skim Pembesaran Kampung Jabatan Tanah dan Survei,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, lokasi pembinaan projek itu ialah di kawasan Darul Hana Kuching, Bungai Rampai Kuching, Kemuyang Sibu, Lundu, Sematan, Igan, Tian Matu dan Rangau Limbang.

“Bagi lokasi tersebut sejumlah 1,013 Rumah Spektra Permata sedang dalam pembinaan,” tambahnya.

Antara penduduk yang menghadiri sesi taklimat.