Taktik murahan sebar audio melaga-lagakan pemimpin

KUCHING: Penyebaran audio untuk melaga-lagakan pucuk kepimpinan Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Kerajaan Persekutuan oleh pembangkang merupakan taktik murahan kerana ketandusan idea.

Setiausaha Politik Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Hamzah Ibrahim berkata, audio yang menyerupai suara Ketua Cabang PKR Petra Jaya Iswardy Morni disebarkan melalui aplikasi WhatsApp antara cubaan melaga-lagakan hubungan baik Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Audio itu juga cubaan mengeruhkan hubungan Ketua Menteri dan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Cubaan ini sangat kebudak-budakan sedangkan realitinya kedua-dua pemimpin berkenaan mempunyai hubungan yang sangat rapat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, individu dari kem pembangkang itu berkemungkinan gerun dengan kekuatan GPS sehingga sanggup memutarbelitkan fakta untuk menghasut rakyat.

Tegasnya, cubaan mengaitkan Ketua Menteri rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam audio berkenaan juga satu pembohongan dan fitnah semata-mata.

“Tidak salah memberi pandangan tetapi biarlah dengan cara betul dan menegur secara berhemah serta berasas,” tegasnya lagi. Hamzah berkata, audio berkenaan menyentuh mengenai Projek Lebuh Raya Pan Borneo – kemungkinan lupa projek berkenaan jauh tersasar daripada jadual asal kerana tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membatalkan PDP.

“Projek berkenaan mencatat kemajuan 43 peratus di Sarawak dan 28 peratus di Sabah semasa zaman Barisan Nasional sehingga Februari 2020.

“Sepanjang tempoh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang yang hanya 13 bulan memerintah, projek Pan Borneo Sarawak mencapai 62 peratus dan Sabah 49 peratus,” katanya lagi.

Beliau memberitahu, penyebaran audio itu langsung tidak menghormati Ramadan yang mulia kerana mengandungi unsur fitnah.

“Sepatutnya ketika ini semua pemimpin politik fokus kepada usaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, bukannya bermain politik sepanjang masa,” tambahnya.

Suara Sarawak