KUCHING: Seorang pemuda sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun empat lelaki gara-gara takut dimarahi ahli keluarganya kerana menggunakan motosikal milik bapanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, lelaki berumur 21 tahun terbabit telah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada jam 2.30 pagi, semalam.
Katanya, suspek mendakwa dirinya diikat dan dibawa sehingga ke Serian selain motosikal miliknya turut dilarikan bersama barang berharga lain.
“Setelah siasatan lanjut dijalankan didapati laporan yang dibuat beliau adalah palsu.
“Suspek bertindak sedemikian kerana takut dimarahi oleh ahli keluarga berkaitan motosijal milik bapanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Merbin berkata, satu laporan polis berkaitan laporan palsu berkenaan telah dibuat oleh pegawai penyiasat kes untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, katanya, sepanjang Januari hingga 28 Mei 2023, sebanyak 10 laporan polis palsu telah diterima kononnya menjadi mangsa samun dan ragut.
Jelasnya, kesemua kes diatas telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu tegasnya, pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas individu berkenaan sehingga ke muka pengadilan ke atas kesalahan membuat laporan palsu.