KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip menggesa kerajaan negeri memulihkan industri sagu yang semakin berkurangan di negeri ini.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak melalui penubuhan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah boleh mempertimbangkan penanaman semula pokok rumbia secara besar-besaran dalam usaha menghidupkan semula industri sagu yang semakin merosot.

“Pokok sagu merupakan pokok asli Sarawak dan ramai yang menganggapnya sebagai ‘tumbuhan emas’. Justeru, cadangan untuk memberikan subsidi kepada pemilik tanah bagi menggalakkan penanaman tumbuhan emas itu di atas tanah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan menyokong Rang Undang-undang Penubuhan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah 2022 oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom di sini, hari ini.
Talib menegaskan, kekurangan tepung sagu juga perlu diatasi kerana ia mempunyai permintaan tinggi.
“Di Eropah misalnya, mereka terpaksa menggantikan sagu dengan pati kentang, begitu juga di Thailand dan Indonesia yang menggunakan ubi kayu. Mereka tiada pilihan kerana pati sagu semakin kurang.
“Justeru, penubuhan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah nanti boleh mempertimbangkan beberapa cadangan antaranya menyediakan beberapa bentuk subsidi untuk menggalakkan pemilik tanah menanam pokok sagu di tanah paya mereka,” katanya.