Talib Zulpilip sanggup disisih demi integriti

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

DALAM politik beliau agak tidak disenangi beberapa kelompok.

Dalam bidang perniagaan pun begitu juga.

Semuanya kerana beliau seorang yang tegas dan enggan berkompromi dalam perkara berkait dengan sogokan.

Kerana itu ketika memegang teraju Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), beliau sentiasa menjaga integritinya dan tidak pernah mengambil kesempatan itu untuk memperkaya kaum keluarga, rakan mahupun para pengikutnya.

Baginya, sentiasa ada mata yang melihat jika kita berhasrat menyalahgunakan kuasa.

Justeru jika ada yang memohon sokongan dan sebagainya, waima ia datang daripada orang kuat dan rapat dengannya sendiri, beliau akan memberitahu secara terus terang, gunakan “merit” untuk mendapatkan projek perniagaan atau projek SEDC.

Tidak ada sokongan daripada beliau.

“Anakanda, biar kita miskin harta, asal kita tidak miskin di mata Allah SWT,” kata Datuk Talib Zulpilip, 72 tahun berpesan kepada penulis dalam salah satu pertemuan kami.

Kerana itu, ada yang tidak senang terhadap beliau, malah beliau menyedarinya.

Malah ketika bertanding di peringkat parti pun, lelaki yang sentiasa tersenyum dan bercakap lembut dan berhati-hati ini tidak pernah menghulurkan wang kempen, biarpun ada yang meminta dan memberi signal kepadanya, sebagai “pelincir” kempen.

Sebaliknya bertegas bahawa beliau tidak ada wang.

Talib malah meminta pembantunya untuk mencari sedikit wang untuk belanja minum mereka yang meminta daripadanya.

Atas itu penyertaan beliau dalam perebutan kerusi Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak lama dahulu, sudah diramal kesudahannya.

Talib tidak pernah kesal dengan tindakannya.

Kerana baginya, kejujuran dan keikhlasan adalah penting, biarpun beliau tersisih kerana pendirian itu.

Namun bagi penganalisis politik, kejujuran itulah yang membawanya bertahan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri N.67 Jepak selama enam penggal, biarpun selepas pilihan raya terakhir, beliau tidak lagi memegang status bertaraf menteri.

Dunia politik peminat sukan ragbi dan golf ini tidak indah sebenarnya.

Kerana ramai yang beranggapan beliau tidak layak untuk di kerusi tersebut, malah ada dalam kalangan seteru politik yang sentiasa mengembar-gemburkan keburukan dan kelemahannya – termasuk dari segi kegagalan menggunakan peranannya sebagai Pengerusi SEDC bagi membantu rakyat di kawasan.

Talib yang berketurunan Melanau Vaie, membesar di Kuala Tatau.

Bapanya seorang nelayan, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.

Beliau mempunyai seorang kakak dan seorang adik perempuan.

Meski miskin hidup, Talib cekal dan pintar dalam pembelajaran.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Orang Kaya Mohammad sebelum meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Kerajaan Bintulu.

Selepas lulus Junior Cambridge, Talib melanjutkan pendidikannya di sekolah berasrama penuh Tanjong Lobang, Miri.

Seperti kebanyakan pelajar pintar lainnya, beliau turut memperoleh Colombo Plan dan menyambung pelajarannya di Dannevirke High School, New Zealand.

Beliau kemudian layak memasuki Victoria University di Wellington, New Zealand sebelum menamatkan pengajian dengan memperoleh Sarjana Muda Perniagaan dan Pentadbiran pada 1974.

Menariknya, Talip tidak terus pulang ke Sarawak.

Sebaliknya beliau meneruskan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang sama, di universiti yang sama, dan lulus cemerlang pada 1976.

Dan kali ini, seperti juga mentornya, beliau kembali ke tanah air dengan membawa isteri.

Kecemerlangan inilah yang membolehkan beliau terus ditawarkan peluang kerja bersama Kerajaan Sarawak, sekembalinya dari New Zealand.

Pada Oktober 1976, Talib dilantik sebagai Penolong Setiausaha Tetap Unit Perancangan Ekonomi Negeri di bawah Jabatan Ketua Menteri.

Ia portfolio yang sangat penting pada waktu tersebut, kerana perancangan membangunkan Sarawak baru bermula.

Pada April 1980, Talib dipinjamkan ke Jabatan Tenaga Manusia di Kementerian Buruh dan Tenaga Manusia Persekutuan sebagai Pegawai Penyelaras.

Selepas 19 bulan, pada Januari 1982, beliau dipinjamkan pula kepada Yayasan Sarawak sebagai ahli ekonomi yang mengetuai Bahagian Ekonomi.

Pada 1983, Talib sekali lagi ditukar pinjam kepada anak syarikat Petronas, Asean Bintulu Fertilizer Sdn Bhd dengan peranan sebagai Pengurus Sumber Manusia dan Pengurusan.

Dalam tempoh yang sama, beliau sering kali dilantik sebagai pemangku Pengurus Kewangan atau Pemangku Pengurus Pentadbiran dan Hubungan Awam, sekiranya pegawai terbabit bercuti.

Dengan pengalaman panjang itu, pada Januari 1988, ketika berusia 36 tahun, Talib telah dilantik menjawat Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Perindustrian yang baru ditubuhkan.

Ketika inilah beliau bekerjasama erat dengan Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mengukuhkan kementerian tersebut, mendapatkan pelabur dan melaksanakan perindustrian tahap tinggi di negeri ini.

Pada Oktober 1993, Talib ditukarkan pula mengetuai Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Tugas itu juga dilaksanakan dengan cemerlang sebelum pada Januari 1995, beliau diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasin SEDC Sarawak.

Empat bulan selepas menggalas tanggungjawab tersebut, ketika berusia 44 tahun, Talib, Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud telah melantik beliau sebagai Pengerusi SEDC, mengambil alih peranan Tan Sri Mohd Effendi Norwawi.

Rupa-rupanya, lantikan itu bersebab, kerana setahun selepas itu beliau diminta untuk bertanding sebagai wakil Barisan Nasional (BN) – Parti Pesaka Bumipiutera Bersatu (PBB) bagi kerusi baharu DUN Jepak.

Beliau sendiri tidak menyangka, pada 9 September 1996, beliau bergelar Yang Berhormat pada usia 45 tahun.

Pada masa yang sama, Talib masih dikekalkan sebagai Pengerusi SEDC Sarawak, jawatan yang disandangnya selama 21 tahun sebelum diminta untuk turut mengetuai Lembaga Pelancongan Sarawak bermula 1 Disember 2009.

Pada 1 Julai 2012, Talib telah dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan, sebelum pada 7 Mei 2016, dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Urbanisasi serta Menteri Muda Pelancongan.

Selepas Abang Johari menjawat Ketua Menteri Sarawak pada 2017, Talib dilantik sebagai menteri penuh di Jabatan Ketua Menteri dengan bertanggungjawab terhadap Ombudsman dan Integriti satu jawatan baharu yang diangkat ke peringkat menteri.

Di sebalik kesibukannya sebagai Menteri dan wakil rakyat, Talib seorang yang aktif. Beliau pernah menganggotai Askar Wataniah serta menjadi Komander Rejimen Askar Wataniah 501 dengan pangkat Brigedier Jeneral. Beliau juga cinta akan ilmu.

Kerana itu sejak November 2007, beliau menerima tanggungjawab sebagai Profesor Adjung di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, selain menjadi ahli Lembaga Penasihat Industri Universiti Antarabangsa Inti, Sarawak. Pada usia 72 tahun, Talib sebenarnya sudah boleh berehat.

Tetapi menjelang pilihan raya lalu, beliau sebenarnya menunggu signal daripada Premier Sarawak untuk menentukan sama ada beliau masih meneruskan khidmat atau bersara.

Beliau memahami akan tekanan di bawah kerana sebelum itu, sudah ada suara terbuka dalam kalangan penyokongnya sendiri mahukan beliau berundur secara terhormat.

Tetapi baginya, kepercayaan yang diberikan oleh Premier, adalah keutamaan.

Dan ternyata ia benar kerana Abang Johari mempunyai perancangan besar, termasuk membangunkan Jambatan Jepak dan Jepak Jaya, bahawa Talib dipertanggungjawab sebagai Penasihat Projek.

Talib menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan anak tercinta sekitar jam 5.50 petang Jumaat lalu selepas sehari dimasukkan ke Pusat Rawatan Pakar Normah.

Justeru beliau tidak sempat melihat Jepak Jaya dan jambatan penting itu menjadi realiti.

Namun ia tidak bermakna Talib akan dilupakan.

Beliau akan sentiasa di hati rakyat kerana keikhlasan, kerana kejujuran dan kerana integritinya yang tinggi.

Dan kini, beliau juga akan diingat kerana menjadi sebahagian daripada jambatan baharu yang sedang rancak dibina dan projek Jepak Jaya yang akan memberi mercu tanda baharu kepada kawasan yang diwakilinya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Buruh paksa moden

SEKALI-SEKALA media melaporkan pekerja asing, termasuk pembantu rumah di negara

Gibran di mata Prabowo

PEMILIHAN presiden (Pilpres) Indonesia berlangsung 14 Februari 2024. Sejumlah survei