Taman herba di dalam bandar

KUCHING: Projek Poket Bandar Hijau dianjurkan oleh Borneo Laboratory diharap dapat membina kebun komuniti dan bank makanan di tengah-tengah bandar raya ini. Salah satu aspek projek itu adalah menangani sampah plastik dengan menggunakan semula botol plastik sebagai tempat tanaman sayur dalam setiap kebun masyarakat setempat.

Pengasas Borneo Laboratory, Wendy Teo berkata, tujuan lain projek ini untuk mewujudkan ruang yang selamat dan selesa untuk orang ramai bertemu. “Sejak pandemik Covid-19 melanda, ramai orang menyedari0 bahawa kawasan tertutup ialah tidak selamat untuk berkumpul,” katanya.

Jelasnya, projek itu dibangunkan di Think & Tink sebelum ini dikenali sebagai Pasar Raya Ting & Ting, dan ia disokong oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (Cendana).

Menurut Wendy, dua reka bentuk bangunan akan didirikan di tempat berkenaan. Pemasangannya pula direka bentuk oleh Wendy Teo Atelier tetapi usahanya dilakukan oleh pasukan Borneo Laboratory.

“Pemasangan pertama ialah Time Tunnel yang merupakan taman herba yang akan didirikan di sebelah bangunan Think & Tink. Pemasangan kedua pula di atas bumbung iaitu menanam sayursayuran dan herba,” katanya.

Menjelas lanjut, sebuah majlis akan diadakan yang merupakan sebahagian daripada inisiatif projek tetapi akan dibuat dalam skala kecil kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan semua orang.

“Jika ramai orang berminat dalam acara ini, kami akan menjadualkan ia mengikut urutan bagi memastikan masyarakat dapat mengambil bahagian dan pada masa yang sama mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya lagi.

Berasaskan model penyertaan masyarakat, Projek Poket Bandar Hijau mendorong penglibatan masyarakat dalam pelbagai cara. Wendy menjelaskan, cara pertama ialah orang ramai boleh mengambil bahagian dengan menyumbangkan botol plastik untuk digunakan semula bagi menanam sayur di kebun.

Kempen #plasticlifefromplastic memerlukan sejumlah 1,500 botol plastik 1.5 liter, dan orang awam yang berminat boleh menyumbangkannya di Think & Tink bermula 6 Mac depan.

Selain itu, terdapat pelbagai tempat untuk pengumpulan botol plastik seperti pusat belibelah Vivacity, pusat beli-belah tHe Spring, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Kolej Segi Sarawak dan UCSI Sarawak.

Cara kedua adalah mengambil bahagian iaitu menjadi sukarelawan atau vendor. Mereka yang berminat boleh mendaftar dalam laman sesawang www. borneoartcollective.org.

Katanya lagi, ramai penduduk yang telah menggunakan kemahiran baharu semasa tinggal di rumah ekoran daripada pandemik Covid-19, tetapi tidak mempunyai platform untuk menunjukkan kemahiran atau produk yang dihasilkan.

“Oleh sebab itu, kita ingin melibatkan mereka ini sebagai vendor sehingga mereka mampu mempersembahkan dan menjual produk mereka seperti kraf tangan dan lain-lain,” tegasnya.

Cara lain seterusnya adalah menerusi bengkel kerana program tersebut bukan sahaja mempamerkan rumah hijau malah mendedahkan peserta dengan perkara baharu yang boleh menjurus kepada sesuatu benda bermanfaat. Menurut Wendy, idea untuk projek tersebut muncul semasa awal pandemik Covid-19 melanda negara.

“Saya mendapat idea ini pada Mei atau Jun tahun lepas. Selepas itu projek sebenar dan melihat kepada reka bentuk berpotensi untuk pemasangan adalah pada September.

“Akhirnya, ia menjadi kenyataan apabila kami berjaya mendapatkan dana pada Oktober dan pada bulan seterusnya kami mula melibatkan orang ramai untuk mengerjakan projek ini,” katanya.

Wendy mendedahkan, pasukannya berusaha merealisasikan projek tersebut, bagaimanapun ia memerlukan sokongan padu masyarakat.

Beliau berharap projek itu dapat dilancarkan secara rasmi pada April ini, tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa penularan Covid-19. Projek Poket Bandar Hijau ialah bentuk jemputan untuk lebih banyak kerjasama dan projek yang bersifat berani.

“Ini adalah jemputan kepada lebih banyak projek bagi memotivasikan pemikiran dan kerjasama dalam bagaimana masyarakat boleh mewujudkan bekerjasama yang mantap,” tegasnya. Selain itu, Wendy melahirkan rasa gembira kerana pasukannya berjaya mencapai ramai dalam menjayakan projek itu. Menurutnya, mereka bersetuju dengan pelaksanaan cadangan projek seterusnya sanggup bekerjasama.

“Kita mempunyai ramai ahli yang berkemahiran dan profesional yang boleh menyumbang. “Tetapi sekiranya tiada sesiapa yang mengambil langkah terlebih dahulu, projek ini tidak dapat berjalan,” jelasnya lagi. Oleh itu, beliau berharap projek ini dapat memberi inspirasi kepada usaha kolektif daripada pelbagai entiti supaya memberi banyak manfaat kepada masyarakat.

Tambah Wendy, dengan berkongsi projek tersebut dengan orang ramai, ia dapat merapatkan semula hubungan masyarakat dengan persekitaran semula jadi terutamanya dapat mewujudkan idea sendiri menjadi kenyataan.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman media sosial facebook @Borneo Art Collective dan instagram@Borneo Laboratory. Selain itu, untuk maklumat lebih lanjut sila hubungi Tham di talian 016-2983987 atau e-mel ke blablearning@gmail.com.

Suara Sarawak