BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) merancang membuka Taman Tumbina Bintulu kepada pengunjung pada waktu malam secara berkala mulai Oktober ini susulan sambutan menggalakkan terhadap aktiviti Night Walk yang diperkenalkan sempena Pesta Tumbina.
Timbalan Pengerusi BDA, Datuk Haidar Khan Asghar Khan, berkata pihaknya menerima banyak permintaan daripada orang ramai yang mahu taman rekreasi itu dibuka pada waktu malam bagi membolehkan mereka menikmati pengalaman berbeza berbanding kunjungan pada waktu siang.

Beliau berkata, sebagai permulaan, Taman Tumbina akan dibuka dua kali sebulan pada waktu malam sebelum tahap sambutan dan keberkesanan operasi akan dinilai bagi menentukan kemungkinan meningkatkan kekerapan pembukaannya pada masa hadapan.
“Memang terdapat banyak permintaan daripada orang awam supaya Taman Tumbina Bintulu dibuka pada waktu malam, namun pada masa ini kita belum merancang untuk membukanya setiap malam.”
“Sebagai langkah permulaan, kita bercadang membuka taman ini dua kali sebulan pada waktu malam dan insya-Allah akan bermula pada Oktober tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Pesta Tumbina 2026 di sini, Ahad lalu.
Menurut Haidar Khan, sambutan terhadap Night Walk membuktikan Taman Tumbina mempunyai potensi untuk berkembang sebagai produk rekreasi malam yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.
“Kalau melihat Tumbina pada waktu siang, ia kelihatan biasa, tetapi apabila dilihat pada waktu malam, suasananya berubah seperti ‘Fairy Land’.”
“Penduduk Bintulu sebelum ini tidak pernah mengalami pengalaman seperti ini,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan pada waktu malam itu akan dijadikan fasa percubaan bagi menilai potensi sebenar Taman Tumbina sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan malam di Bintulu.
“Selepas ini kita akan melihat bagaimana sambutan masyarakat, jika penerimaannya baik, mungkin kita akan melaksanakannya secara mingguan atau memperkenalkan konsep lain yang bersesuaian.”
“Apa yang penting, kita mahu komuniti Bintulu dapat menikmati kemudahan dan tarikan yang ada di Taman Tumbina,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Haidar Khan optimis Pesta Tumbina 2026 mampu mencapai sasaran 70,000 pengunjung berdasarkan peningkatan ketara kehadiran masyarakat tempatan dan luar Bintulu sepanjang tiga hari penganjurannya.
Beliau berkata, peningkatan populariti Pesta Tumbina sejak diperkenalkan tiga tahun lalu menunjukkan acara itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat serta berpotensi menjadi antara tarikan pelancongan tahunan utama di Bintulu.






