Trending

Tambah baik, bukan mansuh STPM

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PADA sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan kerajaan memansuhkan STPM dan menggantikannya dengan program matrikulasi.

Tetapi pada sesi penggulungan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula berkata, tiada keperluan untuk memansuhkan pendidikan STPM.

Jelasnya, tingkatan enam mencakupi peperiksaan STPM yang ditawarkan Kementerian Pendidikan (KPM) adalah selaras dengan Akta Pendidikan 1996 dan diberi jaminan ia mesti wujud serta diteruskan.

Tegasnya lagi, kewujudan STPM bertujuan memastikan murid peringkat menengah atas mendapat kualiti pendidikan setanding piawaian antarabangsa dengan STPM itu sendiri diiktiraf Cambridge Assessment International Education.

Malah beliau mendedahkan, semua universiti awam di negara kita mengiktiraf kelulusan ini apabila lebih 2,000 universiti seluruh dunia turut mengiktiraf sijil STPM.

Oleh itu, lulusan tingkatan enam boleh melanjutkan pelajaran ke mana-mana sahaja dalam negara, luar negara — Amerika Syarikat, semua negara Komanwel dan negara Asia Barat.

Jika kita lihat pada Analisis Pencapaian Calon Peperiksaan STPM 2021, PNGK Nasional STPM 2021 ialah 2.79 meningkat sebanyak 0.01 mata dari tahun 2020 iaitu 2.78

Bagaimanapun, pencapaian calon STPM 2021 dianggap sama dengan pencapaian tahun 2020 kerana peningkatan itu tidak menggambarkan signifikan yang besar.

Sebanyak 874 calon atau 2.14 peratus calon mendapat PNGK 4.00 dan daripada 874 calon ini 584 atau 66.82 peratus adalah golongan B40.

Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 telah meningkat sebanyak 133 calon.

Dari segi PNGK pula, calon secara keseluruhan didapati peratusan calon STPM 2021 pada PNGK 3.75 dan ke atas (9.04 peratus), PNGK 3.00 dan ke atas (41.72 peratus), PNGK 2.75 dan ke atas (55.85 peratus) dan PNGK 2.00 dan ke atas (88.24 peratus) adalah meningkat berbanding tahun 2020.

Dalam STPM 2021, satu mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi 3.00 peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding prestasi pada tahun 2020, iaitu Bahasa Cina.

Manakala, satu mata pelajaran menunjukkan penurunan melebihi -3.00 peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada tahun 2020 iaitu Mathematik.

Di samping itu, 21 mata pelajaran STPM yang lain tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon lulus penuh antara tahun 2021 dengan 2020 kurang daripada 3.00 peratus.

Terdapat banyak maklum balas diterima selepas cadangan itu diutarakan kerana ramai yang kurang bersetuju termasuk Menteri Pendidikan Malaysia.

Jika kita lihat pada keperluan STPM iaitu pelajar yang masih bersekolah kini, mungkin ramai daripada mereka akan memilih untuk masuk ke tingkatan enam.

Ini kerana, STPM adalah pendidikan yang masih ditawarkan di bawah sekolah kerajaan dan perbelanjaan masuk ke tingkatan enam lebih menjimatkan daripada matrikulasi.

Untuk keluarga golongan B40, perkara ini sangat penting kerana jika pelajar itu mengambil STPM, maka mereka boleh bersekolah di sekolah kerajaan dan meringankan beban kewangan keluarga.

Selain itu, STPM juga membuka pilihan atau laluan yang pelbagai kepada pelajar untuk meneruskan pendidikan seterusnya.

Mereka boleh sama ada memilih STPM, diploma, matrikulasi dan pendidikan lain setaraf dengan kelayakan mereka.

Ibu bapa pula ramai yang mahu supaya STPM ini diteruskan kerana bagi mereka jika pendidikan itu untuk kebaikan anak-anak, mengapa perlu dimansuhkan.

Ramai siswazah yang berjaya mendapat pekerjaan adalah lulusan STPM kerana STPM memberikan pendidikan selain persedian awal sebelum masuk ke universiti.

Saya merupakan lulusan STPM dalam bidang kemanusiaan dan saya bangga menjadi bekas lulusan STPM yang memberi saya ruang untuk masuk ke alam universiti.

Ini kerana saya datang daripada keluarga kurang berkemampuan, anak yatim dan hanya bergantung kepada ibu untuk mencari perbelanjaan.

Semasa di tingkatan enam, saya mendapat biasiswa, tinggal di asrama sekolah kerajaan dan hanya melalui STPM selama tiga semester sebelum melangkah ke menara gading.

Jika melihat situasi saya ketika itu, mungkin perjalanan atau peluang untuk masuk ke universiti agak tipis tanpa melalui STPM, kerana masalah kewangan adalah masalah utama saya ketika itu.

Oleh itu, saya berharap KPM teguh dalam pendirian tidak memansuhkan dan akan meneruskan STPM pada masa akan datang supaya memberi ruang kepada ramai lagi pelajar yang senasib seperti saya suatu ketika dahulu. 

Malah, saya mengharapkan STPM ditambah baik pada masa akan datang supaya kekal relevan, mampan dan berkualiti.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Misi capai sifar karbon

SARAWAK mengutamakan pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar,

Buli haiwan sangat kejam

SEBELUM ini, ada cadangan penubuhan agensi Polis Haiwan bagi menangani kes berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru