KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus komited dalam usaha untuk menambah baik persekitaran perniagaan di negeri ini.
MPC berkata, antara salah satu inisiatif giat dijalankan adalah inisiatif Garis Panduan Pelesenan Malaysia (MyGP) bersama-sama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terpilih.
“MyGP diterajui oleh MPC untuk menyokong pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di bawah Inisiatif 2.1.6, iaitu membentuk mekanisme yang kukuh dan efektif dalam proses pengeluaran permit serta lesen,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, MPC memaklumkan satu bengkel penambahbaikan garis panduan pelesenan perniagaan diadakan pada 1 dan 2 Ogos lalu.
Katanya, ia dijalankan dengan pegawai PBT dari Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan Majlis Daerah Lundu (MDL).
“Bengkel tersebut juga merupakan susulan kepada bengkel pemetaan pelesenan perniagaan yang diadakan pada 25 Mei lalu, dengan objektif untuk membangunkan inventori pelesenan perniagaan yang dikawal selia oleh PBT Sarawak dan meningkatkan ketelusan peraturan perniagaannya.
“Ia juga bertindak sebagai pembangunan kapasiti kepada pegawai PBT supaya lebih banyak garis panduan pelesenan perniagaan yang berkualiti dapat dihasilkan pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara Pengarah MPC Sarawak, Dr Mazlina Shafi’i berkata, beliau mengharapkan segala garis panduan yang ditambah baik semasa bengkel diterbitkan secara dalam talian, supaya dapat dijadikan sebagai rujukan pemohon lesen.
Justeru, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas komitmen yang diberikan, sekali gus berharap usaha penambahbaikan persekitaran perniagaan itu dapat diteruskan secara konsisten.