Tambah had gaji golongan istimewa

KUCHING: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) berharap agar kerajaan mempertimbangkan had maksimum kelayakan gaji dinaikkan sehingga RM2,000 iaitu pada paras kemiskinan di Malaysia.

Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, mereka menerima baik saranan kerajaan menaikkan had kelayakan gaji maksimum penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) daripada RM1,200  kepada RM1,500

“Bagaimanapun, lebih wajar jika had kelayakan gaji dinaikkan sehingga RM2,000 kerana ia mengikut keadaan semasa apabila pendapatan di bawah RM2,000 merupakan di bawah paras kemiskinan selain kos hidup semakin tinggi dan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan pekerja istimewa akan dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan bagi membantu golongan OKU yang bekerja turut terjejas dalam tempoh yang sukar.

Katanya, inisiatif yang membabitkan peruntukan berjumlah RM26 juta itu akan memanfaatkan 5,000 orang kelainan upaya (OKU) di negara ini.

Selain itu katanya, Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan RM25 juta di bawah Skim Mikrokredit Istimewa untuk menceburi bidang perniagaan dengan had pembiayaan sehingga RM50,000 dan kadar faedah serendah tiga peratus melalui Program Pemerkasa ini.

Malah, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menambah RM20 juta bagi memperkukuhkan program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembanguna Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sementara itu kata Rapelson, Perais turut menyokong saranan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan peluang kepada golongan OKU mendaftar dan memperbaharui perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.

Suara Sarawak