
PEKERJA merupakan aset terpenting dalam sesebuah organisasi.
Pekerja berperanan menentukan hala tuju serta matlamat organisasi terlaksana dan tercapai.
Oleh itu, aset ini perlu dijaga dengan baik antaranya dengan meningkatkan kemahiran mereka agar dapat terus memberi sumbangan terbaik kepada organisasi.
Atas sebab ini, Ahli Panel Perunding Pembudayaan Produktiviti, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Prof Madya Datuk Dr Ismail Sulaiman berkata, apabila seseorang pekerja menyertai sesebuah organisasi, individu itu secara automatik bersetuju taat setia dan menyumbang keringat demi mencapai matlamat organisasi.
Menurutnya, pekerja perlu memberi sepenuh komitmen terhadap organisasi, seterusnya meningkatkan produktiviti menerusi tanggungjawab dipikul.
Tetapi, apa cara terbaik bagi majikan untuk menghargai sumbangan pekerjanya agar kedua-dua pihak saling mendapat manfaat?
Sebenarnya terdapat banyak cara untuk memberi motivasi serta menghargai pekerja, baik pekerja senior mahupun junior.
Antara tindakan yang wajar dilakukan ialah dengan menambah kemahiran dan ilmu pengetahuan mereka dengan menghantar atau mengadakan sesuatu kursus.
Mengapa?
Tahukah anda lebih satu pertiga daripada kemahiran yang dianggap penting untuk kerjaya kita sekarang akan menjadi tidak relevan lima tahun lagi.
Data tersebut didedahkan oleh Forum Ekonomi Dunia menerusi Laporan Masa Depan Pekerjaan.
Realitinya, teknologi berubah lebih pantas daripada yang kita jangkakan dan ia menyebabkan banyak kerja yang hari ini menuntut seseorang itu berpengetahuan, mahir, cekap dan mampu menyesuaikan diri perubahan dalam pekerjaannya.
Lantaran itu menambah kemahiran bukan sekadar dapat meningkatkan kebolehan dalam jawatan sedia ada, malah peluang untuk mendapatkan jawatan yang diimpikan menjadi sangat cerah!
Yang paling penting juga ia memberi kelebihan dalam perjalanan kerjaya seseorang itu untuk jangka panjang.
Selain itu, terdapat keperluan melengkapkan diri dengan kemahiran yang setanding dengan perubahan dunia pekerjaan dan masyarakat yang semakin bergantung pada teknologi kini menjadi semakin penting.
Pekerja perlu diberi nilai tambah bagi meningkatkan produktiviti mereka dan dalam aspek itu, ia boleh dalam pelbagai bentuk seperti memberi kemahiran baharu dan sebagainya.
Apabila keupayaan, kemahiran dan ilmu bertambah secara tidak langsung mereka menyumbang pertumbuhan ekonomi sesebuah organisasi.
Jangan tengok saja! Jadi pernahkan anda mendengar atau membaca slogan ini, jangan tengok saja?
Slogan ini sering kali disebut oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan dalam satu video pendeknya baru-baru ini, beliau mahu anak-anak Sarawak meningkatkan kemahiran mereka kerana banyak program latihan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
Antaranya menerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) dengan Program Penyerapan Teknologi Tegas (TTIP).
Program ini bertujuan untuk memperkasakan bakat teknologi tempatan, pelajar dan graduan baharu untuk memulakan kerjaya mereka dalam ekosistem keusahawanan inovasi.
Dalam dunia hari ini, kita harus menerima hakikat bahawa menambah kemahiran akan membolehkan seseorang itu setara dengan trend industri serta membina kerjaya yang berjaya dan memberi kepuasan.
Sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu atau kemahiran baharu sangat berguna kerana kemahiran yang dianggap berguna pada hari ini mungkin bertukar menjadi lapuk dalam beberapa tahun! Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) Datuk Vignaeswaran, hanya satu daripada jumlah majikan yang juga ahli mencalonkan pekerja mereka dalam latihan untuk pekerja mahir. Data tahun 2016 itu juga mendapati 99 peratus daripada ahlinya telah mendaftarkan diri di bawah program keupayaan separa mahir.
Bagaimana pula situasinya hari ini? Vignaeswaran ketika itu menegaskan program keupayaan separa mahir berkenaan tidak membekalkan pekerja dengan program yang akan meningkatkan kemahiran ke tahap tertinggi serta hanya melayakkan ahli mendapat sijil kehadiran.
Persoalannya sekarang, mengapa majikan seolah-olah enggan meningkatkan kemahiran mereka?
Sebenarnya, ada sesetengah pekerja apabila sudah memperoleh sesuatu kemahiran atau ilmu baharu, mereka akan meninggalkan syarikat kerana mendapat pekerjaan yang lebih baik.
Setiap orang mempunyai kebebasan untuk memilih pekerjaan yang boleh meningkatkan sumber pendapatan mereka. Ironinya, kenyataan ini turut diakui oleh bekas Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.
Ekoran itu katanya, ada majikan tidak mahu menghantar pekerja mendapatkan latihan kerana apabila mereka pulang, gaji perlu dinaikkan dan ada juga yang akan berhenti kerja selepas dihantar menjalani latihan kemahiran industri.
Dalam hal ini, bagaimana majikan hendak memastikan aset terpenting mereka itu terus kekal berkhidmat?
Cadangan Kula Segaran agar majikan menandatangani perjanjian dengan pekerja iaitu jika pekerja dihantar menjalani latihan, mereka perlu datang semula kepada syarikat untuk berkhidmat merupakan tindakan yang bernas.
Meskipun demikian terdapat banyak lagi cara lain untuk mengekalkan kesetiaan pekerja. Komitmen pekerja amat penting bagi memastikan sesebuah organisasi mencapai matlamatnya. Komitmen pekerja terhadap organisasi juga dipengaruhi secara tidak langsung oleh keselesaan bekerja seseorang individu.
Oleh itu, meningkatkan kemahiran sumber manusia seterusnya menjaga kebajikan mereka boleh membina kesetiaan antara pekerja dan organisasi.