SPAOH: Kerajaan Sarawak mempunyai cadangan untuk menambah bilangan ketua kampung dengan melihat situasi semasa bagi memastikan sistem pentadbiran yang lebih berkesan dan cekap.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagaimanapun sekarang apa-apa keputusan belum dimuktamadkan.
“Inilah perkara yang kita lihat serius dalam satu jawatankuasa di peringkat negeri yang dipengerusikan oleh saya untuk menyemak struktur — seorang ketua kampung kepada berapa penduduk
“Untuk Kampung Melayu dan penempatan Cina, kita telah melantik Datuk Seri Fatimah Abdullah mempengerusikan jawatankuasa kecil bagi memberi cadangan menyusun semula dengan melihat situasi semasa agar sistem ketua kaum dan ketua masyarakat lebih berkesan.
“Kini sudah dibincangkan dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan kita berbuat demikian,” katanya.
Calon GPS Bukit Saban itu berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas perjumpaan bersama-sama ahli jawatankuasa Kelab Pesara Kerajaan Spaoh.
Jelasnya, memandangkan mereka diberikan elaun, maka kerajaan memerlukan peruntukan tambahan dan itu antara perkara yang harus dipertimbangkan.
Menurutnya, JKKK merupakan jawatankuasa yang penting di peringkat akar umbi yang berperanan menyampaikan dasar kerajaan, selain mengurus kampung agar lebih teratur.
“Apabila ia (jumlah) banyak, maka akan lebih menyenangkan kerajaan dalam mengurus pembangunan termasuk sosioekonomi rakyat.”
Tetapi kini kita melihat ada kawasan yang nisbah antara bilangan ketua kampung dan jumlah penduduk tidak setara.
“Misalnya Spaoh ada lebih 800 rumah tetapi hanya mempunyai empat ketua kampung, sedangkan di Debak ada banyak lagi ketua kampung,” ujarnya.
Terdahulu ketika bertemu ahli jawatankuasa Kelab Pesara Kerajaan Spaoh, beliau menerima cadangan yang meminta kerajaan melihat bagaimana untuk menambah baik pentadbiran kampung supaya lebih berkesan, sekali gus lebih cekap membantu membangunkan rakyat.