ARTIKEL

Tambah jumlah penerbangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sibu dan Miri menjadi antara sebahagian daripada destinasi di Asia Tenggara yang bakal mempunyai penerbangan terus dari dan ke Singapura yang dikendalikan oleh Scoot Airlines (Scoot), dan sekali gus menambah jumlah penerbangan ke Sarawak.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, beliau berterima kasih kepada Scoot kerana bersetuju dengan permintaannya yang mewakili Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menambah jumlah penerbangan ke negeri ini.

“Saya berasa gembira apabila dimaklumkan penerbangan antara Kuching dan Singapura akan ditambah daripada tujuh kepada 10 penerbangan mulai 5 Mei.

Manakala tiga kepada empat kali penerbangan seminggu dari dan ke Miri bermula 20 Mei, serta Sibu sebanyak tiga kali seminggu bermula 7 Jun.

“Pada masa sama, saya juga berterima kasih kepada Scoot atas kerjasama rapat dengan MOT serta Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam usaha mempromosikan Sarawak ke Singapura.

“Saya yakin dengan lebih banyak pemasaran dan promosi oleh semua pihak berkepentingan bersama-sama, Scoot akan dapat mengendalikan lebih banyak penerbangan ke Sarawak.

“Secara peribadi, saya dapat menjangkakan terdapat potensi pertumbuhan yang besar dalam kedua-dua sektor perniagaan dan pelancongan antara Singapura dan Sarawak, dan begitu juga sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, STATOS melalui satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebooknya mengumumkan Scoot melancarkan penerbangan terus dari Singapura ke Miri, serta memperkenalkan laluan penerbangan baharu iaitu ke Sibu bermula 5 Jun depan.

“Penerbangan dari Singapura ke Sibu pada setiap minggu dijadualkan sebanyak tiga kali, dan akan mula berlepas jam 5.25 pagi setiap hari Rabu, Jumaat, dan Ahad. Manakala, penerbangan Sibu ke Singapura akan memulakan penerbangan jam 7.50 pagi pada hari yang sama yang telah ditetapkan.

“Manakala, penerbangan ke Miri dari Singapura sebanyak empat kali seminggu mulai 20 Mei dan seterusnya, dan ia dijadualkan berlepas jam 4.55 petang pada setiap Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu. “Sementara itu, penerbangan Miri ke Singapura dijadualkan akan berlepas jam 7.40 malam pada hari yang sama dalam seminggu,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU