KUCHING: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi membantu rakyat di negeri ini menambah simpanan untuk persediaan masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, terdapat beberapa perkara dibincangkan bersama-sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kunjungan hormat ini untuk menerangkan tentang peranan, isu yang dihadapi KWSP serta bagaimana kita boleh bekerjasama untuk membantu rakyat Sarawak menambah simpanan masing-masing.
“Isu ini penting memandangkan kita hendak menjaga kesejahteraan rakyat dengan menambah serta meningkatkan kefahaman mereka tentang kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengetuai rombongan KWSP melakukan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Jelasnya, KWSP komited mahu memperhebatkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi menjaga kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turut hadir sama.