Tambahan RM20 bilion bolehkan kerajaan beli vaksin untuk rakyat

KUALA LUMPUR: Tambahan perbelanjaan RM20 bilion yang diluluskan melalui Rang Undang-undang Pembiayaan Kerajaan Bagi Penyakit COVID-19 (Pindaan) 2020, antara lain adalah bagi membolehkan kerajaan membeli vaksin untuk rakyat.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perbelanjaan itu juga akan disalurkan sebagai dana tambahan untuk barisan hadapan.

“Saya ingin mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang telah sebulat suara menyokong rang undang-undang ini. Kelulusan ini amat diperlukan dalam usaha memerangi COVID-19 serta menjamin keselamatan rakyat.

Dalam kehangatan perbahasan yang telah berlangsung, saya amat menghargai pandangan dan cadangan semua Ahli Parlimen dan kerajaan mengambil maklum kesemuanya,” katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-34, menerusi Facebook beliau semalam.

Laporan itu merupakan laporan terakhir pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (KITA PRIHATIN) yang dikeluarkan bagi tahun ini.

Tengku Zafrul berkata kerajaan juga bersedia menambah bantuan sekiranya terdapat keperluan di masa akan datang, demi kepentingan rakyat, perniagaan dan ekonomi negara.

Menyentuh mengenai Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA berjumlah RM1 bilion khusus bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan PKS mikro, Tengku Zafrul berkata terdapat 537 PKS telah memohon pembiayaan itu setakat 11 Dis lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak 245 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM49.9 juta.

Mengenai Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan pula, beliau berkata sehingga 11 Dis, seramai 106,443 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program itu.

“Jumlah ini merangkumi 85,242 orang di bawah umur 40 tahun, 13,513 individu berusia di antara 40 hingga 60 tahun, serta 6,420 perantis dan 1,268 orang kelainan upaya (OKU)

Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” katanya. — BERNAMA