KUCHING: Sarawak mempunyai sejumlah 49 kluster Covid-19 selepas tiga lagi kluster baharu diisytiharkan hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, daripada jumlah tersebut sebanyak 11 kluster merekodkan 169 penambahan kes manakala 38 kluster tiada kes baharu.
“Tiga kluster itu adalah Kluster Jalan Disa dan Kluster Jalan Ding Lik Kwong di Sibu dan Kluster Ulu Balingian di Selangau,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata Kluster Jalan Disa adalah kluster komuniti melibatkan sebuah sekolah rendah agama di Jalan Disa dengan indeks kes wanita berumur 28 tahun yang juga guru di sekolah tersebut.
“Kes pernah ke Kabong pada 31 Mac hingga 4 April lalu, pengesanan aktif dilakukan dengan 199 individu disaring, 20 kes positif dan 179 negatif.
“Kluster Jalan Ding Lik Kwong pula merupakan kluster tempat kerja melibatkan sebuah syarikat perindustrian perkayuan di Teku Sibu, sejumlah 43 individu telah disaring dan 16 kes positif,” ujarnya.
Sementara bagi Kluster Ulu Balingian di Selangau, Uggah berkata ia juga kluster komuniti melibatkan sebuah sekolah menengah dan kediaman penduduk di Ulu Balingian.
Dalam perkembangan berkaitan, Uggah memberitahu Selangau bertukar status kepada merah, menjadikan sejumlah 16 daerah merah di Sarawak.
“Betong dan Asajaya bertukar status jingga daripada kuning, manakala Bau kembali status kuning setelah mencatatkan 12 kes jangkitan.
“Daerah hijau kekal empat buah,” katanya.