Tanah runtuh: SEB segera baiki talian bekalan elektrik rosak

BAU: Dua daerah di bahagian selatan Sarawak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia terpaksa bergelap selepas dua kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan bekalan elektrik terputus di kawasan berkenaan.
Syarikat pembekal tenaga elektrik milik kerajaan negeri, Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam kenyataan malam ini memaklumkan bahawa pasukan teknikal telah dikerah ke lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan di dua talian bekalan elektrik antara daerah Bau dan Lundu yang rosak akibat tanah runtuh.
“Dua talian atas 33kV (Kilovolt) tersangkut akibat kejadian tanah runtuh yang merosakkan tiang elekrtik dan menyebabkan kerosakan kabel bawah tanah kerana hakisan tanah,” menurut kenyataan itu.
Talian pertama dilaporkan terputus pada 11.30 malam Rabu, 13 Jan dan SEB dengan serta-merta mengerahkan pasukan pasukan operasinya menilai kesan tanah runtuh pada tiang yang tumbang.
“Bagaimanapun, usaha pembaikan terjejas disebabkan keadaan tidak selamat susulan tanah runtuh dan kawasan terjejas akibat banjir,” menurut kenyataan itu.
Talian kedua terputus pada 10.45 pagi tadi selepas satu lagi kejadian tanah runtuh yang memusnahkan kabel bawah tanah.
“Usaha pemulihan hanya akan dilakukan setelah kawasan itu dibersihkan dan selamat untuk kerja-kerja pembaikan,” jelasnya.
Pengurus Wilayah Barat SEB Choo Min Chong dalam kenyataan itu berkata pasukan pemulihan telah berusaha memperbaiki tiang patah di talian pertama, yang dijangka siap pada 10 malam ini.
“Pergerakan tanah dan keadaan cuaca buruk menjejaskan kerja-kerja pemulihan yang selamat dan cepat. Kami memaklumkan situasi terkini kepada pelanggan terjejas dan amat menghargai mereka yang faham keadaan pada masa ini. Kami memberi jaminan bahawa kami sedang melakukan yang terbaik untuk memulihkan bekalan elektrik dengan selamat secepat mungkin,” katanya.
 

Suara Sarawak