SIMANGGANG: Tiga pintu Rumah Panjang Panggai Anal, di Melugu Tengah masing-masing mengalami kerosakan pada bahagian dapur dan bilik air akibat tanah susur yang berlaku, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Siti Huzaimah Ibrahim mengesahkan, insiden bagaimanapun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.
“Kita dimaklumkan oleh penghuni pada 9.30 pagi dan sepasukan anggota digegaskan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati benteng belakang rumah panjang (melibatkan lima pintu) retak akibat tanah susur dari atas bukit.
“Ia dipercayai akibat hujan lebat sejak 5 pagi dan telah menjejaskan tiga kediaman,” katanya dihubungi untuk mendapatkan respons lanjut tentang insiden, hari ini.
Jelasnya, kediaman milik Sylvester Aden Tiak dan Susan Atat mengalami kerosakan pada bahagian dapur.
“Sementara kediaman tuai rumah Panggai Anal rosak pada bahagian dinding bilik air.
“Apa yang merisaukan jika hujan berlarutan, akan berlaku lagi pergerakan tanah memandangkan jarak antara benteng dan belakang rumah panjang terlalu dekat iaitu lima kaki sahaja.
“Justeru kita menasihatkan agar penghuni sentiasa peka dengan perubahan keadaan sekeliling,” ujarnya.
Berikutan musim hujan sekarang, Huzaimah mengingatkan semua pihak untuk lebih berwaspada terutama yang tinggal di kawasan rendah dan lereng bukit yang berisiko diancam hakisan.
