Tanah untuk projek rakyat dibayar pampasan

LUBOK ANTU: Pemilik tanah di negeri ini yang terjejas dengan projek pembangunan infrastruktur tidak perlu risau kerana Kerajaan Sarawak akan membayar pampasan ke atas tanah tersebut.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata, pampasan dibayar mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang dalam Kanun Tanah Negeri.

Malah kata Adun Batang Ai itu, Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Tanah dan Survei melakukan penilaian sebelum membayar pampasan mengikut nilai pasaran yang ditetapkan.

“Pemilik tanah perlu ingat pampasan bukan boleh dibayar serta-merta, sebaliknya menerusi proses dan prosedur mengikut Kanun Tanah Negeri.

“Pemilik tanah harus bersyukur kerana Kerajaan Sarawak tetap membayar pampasan meskipun tanah dibangunkan adalah untuk melaksanakan projek rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis menyampaikan cek pampasan tanah bagi Projek Fasa Satu jalan Nanga Kesit – Ulu Lemanak – Engkari di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Lubok Antu, pada Jumaat.

Dalam majlis itu, seramai 39 pemilik tanah NCR menerima cek daripada Malcolm.

Beliau memberitahu, pembayaran pampasan berkenaan merangkumi kebun, pokok buah-buahan dan sebagainya milik pemilik tanah.

“Saya juga berharap bagi fasa kedua projek yang bermula tahun ini, saya harap mendapat kerjasama penduduk yang terlibat,” katanya.

Suara Sarawak