ARTIKEL

Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Pertanian Bahagian Padi dan Bijian Jafaruddin Ali.

Tanam padi belakang rumah, ikut cara Taiwan dan Jepun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengusahaan padi di belakang rumah seperti yang dilaksanakan di beberapa negara termasuk Taiwan dan Jepun boleh diterapkan di Sarawak, kata Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Pertanian Bahagian Padi dan Bijian Jafaruddin Ali.

Menurutnya, padi boleh ditanam di mana-mana sahaja dengan syarat mempunyai sumber air dan baja yang mencukupi.

“Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) membuktikan bahawa padi boleh ditanam di sekitar laman institusi tersebut dengan menuai hasil padi jenis MR297 hari ini (semalam).

“Ini satu potensi besar menunjukkan bahawa padi boleh ditanam dan diusahakan di kawasan yang mempunyai ruang tanah terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Program Demonstrasi Medan Ujian Padi (Paddy Test Bed) di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini, hari ini.

Melihat kepada potensi ini katanya, kerjasama akan diteruskan dengan pihak yang berkaitan bukan sahaja dari segi pengeluaran benih, tetapi juga aplikasi terhadap teknologi moden pada masa akan datang.

Hasil padi yang dituai.

Usaha ini juga selari dengan aspirasi Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahukan penanaman padi di kawasan yang luas secara moden bagi mencapai tahap Kadar Sara Diri (SSL) 100 peratus menjelang tahun 2030.

“Selaras dengan hasrat Premier (Abang Johari) dan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD), kita menyahut seruan ini.

“Kami dari Jabatan Pertanian akan bekerjasama dengan pelbagai agensi bukan sahaja yang terlibat dalam industri pertanian, tetapi juga institusi penyelidikan dan pendidikan.

“InsyaAllah, kerjasama ini akan dilakukan secara berterusan tidak terhad di sini, tetapi juga di tempat lain yang mempunyai potensi seperti CENTEXS Mukah dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, kolaborasi dengan pihak seperti CENTEXS bakal menjadikan industri penanaman padi ini dapat dijalankan secara lebih menyeluruh sehingga kepada sistem mekanisasi yang akan dirancang kelak.

“Kita mahu pastikan usaha penanaman padi yang bermula dari pembenihan sehingga penuaian berjalan dengan lancar kerana maklum bahawa industri ini masih baharu di Sarawak.

“Demi mencapai aspirasi yang dihasratkan, kita perlu mengembangkan lagi industri tersebut agar ia dapat menjadi seperti industri kelapa sawit yang berjaya berkembang pesat di negara ini,” jelasnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Datuk Syeed Mohd Hussein Wan Abd Rahman dan lain-lain.

Padi ditanam sekitar laman CENTEXS

BERITA LAIN

15 PATI gagal masuk Sarawak

KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke Sarawak menggunakan lorong tikus di Sektor Pos GABMA

BERITA TERBARU

Misi Kuching City FC cari kemenangan pertama

KUCHING: Pengurus Kuching City FC, Irwanshah Mohamad menegaskan, tiga mata tetap menjadi buruan pasukannya pada perlawanan menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam