Tandas kotor, berbau

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KETIKA menjadi nazir sekolah suatu ketika dahulu, satu daripada tugas kami ialah melawat dan memeriksa sekolah.

Dalam pemeriksaan itu, pelbagai aspek pentadbiran dan pengurusan sekolah diperiksa dan dinilai.

Selain daripada itu, sebagai nazir, saya juga melakukan pengamatan dan pemerhatian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.

Biasanya kami duduk di belakang kelas dari awal hingga akhir proses berkenaan.

Bayangkan betapa mencabarnya tugas itu jika sekolah tersebut terdiri daripada dua sesi dan mempunyai banyak guru.

Maksudnya, kami terpaksa duduk memerhati proses pengajaran dan pembelajaran dari awal pagi hingga petang.

Selepas beberapa hari di sekolah berkenaan, kami akan mengadakan sesi libat urus dengan pengetua dan guru mata pelajaran terbabit untuk menyampaikan dapatan kami, tentunya dengan perakuan atau cadangan untuk menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran.

Bagi aspek pengurusan sekolah, antara yang kami pantau dan nilai ialah keadaan pengurusan asrama, tandas dan kemudahan-kemudahan lain di sekolah.

Dengan peluang untuk melawat sekolah, purata setiap dua minggu sekali, bolehlah dikatakan ketika itu saya sempat melawat semua tempat dan sekolah di Sarawak.

Saya dapat membuat perbandingan sekolah mana yang keadaan asrama dan tandasnya baik, dan sekolah mana pula teruk keadaannya.

Namun, saya dapat katakan, kebanyakan sekolah mempunyai keadaan asrama dan tandas yang teruk.

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri menegur keadaan kebanyakan tandas di sekolah di negara ini yang tidak terjaga dan tidak dibaik pulih sebaiknya.

Jelas ini bukanlah isu baharu.

Untuk sekian lama, pihak sekolah bertarung dengan cabaran untuk memastikan keadaan tandas sekolah dalam keadaan baik, bersih, kemas dan terpelihara.

Hakikatnya, tidak mudah, apatah lagi jika jumlah murid di sekolah berkenaan begitu ramai, mencecah ribuan orang.

Keadaan bertambah buruk jika jumlah tandas di sekolah terbabit tidak banyak.

Saya benar-benar faham akan masalah ini sebab pernah juga menjadi pengetua selama lima tahun.

Satu perkara yang sering menjadi perhatian saya ketika itu ialah memastikan keadaan tandas bukan sahaja terjaga tetapi sentiasa bersih sepanjang masa.

Namun, itu hanya impian dan angan-angan.

Pelbagai strategi dan kaedah digunakan, termasuk tentunya melibatkan murid dalam membersihkan tandas.

Pihak sekolah biasanya menyediakan jadual untuk pelajar secara bergilirgilir membersihkan tandas supaya tandas sentiasa bersih dan tidak berbau.

Tandas yang bersih, kemas dan sentiasa terjaga penting supaya murid selesa menggunakannya.

Yang paling menjengkelkan dan memualkan adalah apabila tandas kotor, penuh dengan najis dan berbau.

Siapakah yang akan selesa menggunakan tandas yang sedemikian?

Saya pasti kebanyakan sekolah masih melibatkan murid untuk membersihkan tandas secara bergilir-gilir.

Langkah ini juga penting untuk mendidik mereka supaya berdisiplin ketika menggunakan tandas.

Saya juga masih ingat bagaimana pertandingan kebersihan tandas juga gagal mewujudkan keadaan tandas yang benar-benar bersih.

Masalahnya, kebanyakan murid seolah-olah tidak pandai menggunakan tandas dengan betul.

Mereka tidak membersihkan tandas selepas digunakan.

Dengan jumlah murid yang tidak henti-henti menggunakan tandas, tandas juga cepat rosak.

Air yang mencukupi penting dan sistem pam yang baik juga amat diperlukan.

Anda boleh tanya guru sekolah bagaimana sukarnya menyelenggara tandas dan memastikan keadaannya sentiasa bersih.

Ada sekolah yang mengutip duit beberapa sen daripada murid sebelum ini untuk menyelenggara tandas, tetapi langkah seperti itu biasanya tidak disenangi oleh ibu bapa.

Sama juga, bukan tidak ada ibu bapa yang merungut dan tidak suka anak mereka dikerah untuk membersihkan tandas.

Bagi mereka, anak-anak mereka dihantar ke sekolah untuk belajar, dan bukannya untuk mencuci dan membersihkan tandas.

Alangkah sempitnya pemikiran ibu bapa berkenaan.

Tidak hairanlah ketika menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1990-an dahulu, Anwar juga pernah menerima telegram daripada ibu bapa supaya tindakan meminta anak mereka mencuci tandas dihentikan.

Jelaslah, ibu bapa berkenaan tidak faham akan erti pendidikan yang menyeluruh dan disiplin.

Hakikatnya, apabila murid dilibatkan dalam usaha mencuci tandas, mereka akan disemai dengan nilainilai murni supaya sentiasa menjaga kemudahan sekolah, termasuk tandas.

Terus terang, kita sebenarnya gagal mendidik murid sekolah dan rakyat di negara ini supaya menggunakan tandas dengan betul.

Jika tidak percaya, perhatikan keadaan tandas awam di negara ini termasuk di stesen bas dan sebagainya.

Sedangkan sebenarnya, aspek kebersihan sentiasa diberi penekanan dalam setiap agama.

Mengapakah kita pandai menjaga tandas di rumah?

Mengapakah amalan sedemikian tidak diamalkan apabila menggunakan tandas awam?

Hal ini berbeza sama sekali dengan keadaan tandas di negara maju, terutamanya di Jepun.

Satu daripada amalan yang saya perhatikan ketika beberapa kali mengunjungi negara Jepun ialah, keadaan tandasnya yang sentiasa kering, kemas dan bersih.

Menurut seorang pensyarah dari Malaysia yang saya temui di sebuah universiti di Tokyo suatu ketika dahulu, masalah orang Malaysia ialah lemah dari segi penyelenggaraan kemudahan awam.

Sebaliknya, orang Jepun mempunyai budaya penyelenggaraan berkelas dunia.

Mereka akan segera membaik pulih kemudahan, termasuk tandas yang rosak.

Mereka berdisiplin ketika menggunakan kemudahan awam, termasuk tandas.

Adakah kita memang gagal menyemai nilai-nilai baik yang begitu ditekankan sejak di sekolah rendah lagi?

Ya, nilai juga sikap kita dari segi kebersihan lain.

Adakah kita orang yang tidak membuang sampah sesuka hati.

Bukan tidak ada pemandu kereta mewah yang membuang sampah termasuk botol minuman dari kereta mereka?

Kereta saja ada kelas, tetapi sikap mereka tiada kelas.

Adakah kita memang tidak tahu malu?

Tidaklah kita rasa bersalah meninggalkan segala najis dan kekotoran di tandas selepas menggunakannya?

Ke mana perginya ajaran agama yang dipasakkan ke dalam minda kita sejak kecil oleh guru agama, ustaz dan sebagainya?

Atau kita memang manusia yang hanya mementingkan diri sendiri sedangkan pengguna selepas kita juga mahu keadaan tandas yang bersih.

Kita perlu menghormati pengguna tandas selepas kita dan juga pembersih tandas.

Pembersih tandas bukan hamba kita.

Kita perlu pandai memuliakan orang lain yang memberi sumbangan termasuk membersih tandas dan mengutip sampah.

Mulailah berubah dari sekarang.

Jika hendak melentur buluh biarlah dari rebung.

Jadi, latihlah mereka dari bangku sekolah.

Kita perlu didik mereka supaya prihatin dan ihsan.

Pastikan tandas kita sentiasa bersih kerana tandas yang bersih juga menggambarkan peribadi dan imej kita sebagai rakyat Malaysia.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Kembara luar biasa

BUKAN selalu Yang di-Pertuan Agong melakukan kembara dan perjalanan lebih

Bintang cemerlang

BAGI sebahagian besar peminat muzik dan penyanyi Indonesia, mereka mungkin

Langkah sumbang

KITA masih berada dalam Bulan Kemerdekaan. Bulan Kemerdekaan dan Hari

Lain-lain

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja